Genting kemuka tawaran RM6.74 bilion ambil alih Genting Malaysia

BeritaHarian Mon, Oct 13, 2025 06:26pm - 2 weeks View Original


Genting Malaysia Bhd (GENM)
Genting Malaysia Bhd (GENM)

KUALA LUMPUR: Genting Bhd mencadangkan satu tawaran pengambilalihan secara sukarela bersyarat untuk memperoleh semua baki saham biasa dalam Genting Malaysia Bhd (GENM) yang belum dimiliki oleh kumpulan itu, pada harga tunai RM2.35 sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Genting berkata tawaran itu melibatkan 2.87 bilion saham GENM atau 50.64 peratus kepentingan ekuiti, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6.74 bilion.

Setakat 10 Oktober 2025, Genting memiliki 49.36 peratus saham dalam GENM.

Tawaran ini adalah bersyarat, di mana Genting mesti menerima penerimaan yang sah yang akan meningkatkan pegangan sahamnya kepada lebih daripada 50 peratus daripada jumlah keseluruhan saham yang diterbitkan.

Genting berkata, harga tawaran sebanyak RM2.35 sesaham mewakili premium antara 9.8 peratus hingga 22.9 peratus berbanding harga dagangan sejarah saham GENM bagi tempoh 12 bulan sehingga dan termasuk 10 Oktober 2025, iaitu hari dagangan terakhir sebelum notis tawaran dikeluarkan.

"Tawaran ini memberi peluang kepada pemegang saham untuk merealisasikan pelaburan mereka dalam GENM pada harga premium," kata kumpulan itu.

Pengambilalihan ini membolehkan Genting memperoleh kawalan statutori ke atas GENM dan menyatukan penyata kewangan anak syarikat itu, tanpa bergantung kepada takrif kawalan secara perakaunan.

Pembiayaan bagi tawaran ini akan datang daripada gabungan dana dalaman dan sehingga RM6.3 bilion dalam bentuk pembiayaan hutang.

Genting berkata, nisbah keberhutangan kumpulan dijangka meningkat daripada 0.43 kali kepada 0.50 kali sekiranya semua pemegang saham menerima tawaran tersebut sepenuhnya.

Sekiranya pengambilalihan ini menyebabkan pelanggaran terhadap syarat pegangan saham awam minimum sebanyak 25 peratus, Genting mungkin mempertimbangkan untuk menyenaraikan keluar GENM daripada Bursa Malaysia.

GENM, yang mengendalikan Resorts World Genting serta beberapa hartanah antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom, mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM251.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Kumpulan ini adalah antara empat pesaing untuk sehingga tiga lesen kasino komersial di kawasan selatan New York, dengan keputusan dijangka diumumkan menjelang akhir 2025.

"Tawaran ini meletakkan Genting dalam kedudukan untuk mengukuhkan kawalan serta fleksibiliti kewangan bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang GENM, termasuk potensi pengembangan di AS," kata syarikat itu.

AmInvestment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat utama bagi tawaran ini, yang dijangka akan selesai menjelang suku keempat 2025.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.380
GENM 2.330
GENTING 3.420

Comments

Khor Chee Wee
Like · Reply
Not worth it

Login to comment.