Bekas CEO TH Plantations fail aduan pembuangan kerja tidak sah

BeritaHarian Wed, Sep 17, 2025 09:09pm - 18 hours View Original


Gambar fail. Mohammad Zainurin Mohamed Zain. - NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD
Gambar fail. Mohammad Zainurin Mohamed Zain. - NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations Bhd, Mohamed Zainurin Mohamed Zain hari ini memfailkan aduan pembuangan kerja tidak sah di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Kuala Lumpur.

Langkah itu diambil susulan TH Plantations telah gagal menjawab rayuannya dalam tempoh masa munasabah yang diberikan.

Mohamed Zainurin melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap sikap membisu syarikat perladangan itu berhubung rayuan yang dikemukakannya pada 28 Ogos lalu.

Menurut kenyataan peguamnya, rayuan itu sepatutnya dijawab berdasarkan komitmen Pengerusi TH Plantations, Datuk Dr Ahmad Kushairi Din melalui emel bertarikh 29 Ogos 2025.

Sebagai anak syarikat kepada Lembaga Tabung Haji (TH), institusi Islam yang mempunyai misi untuk memperkasa ekonomi Ummah, Mohamed Zainurin menegaskan cara penamatan perkhidmatannya bukan saja telah dibuat secara tidak sah dan munasabah seperti mana yang dijamin undang-undang, namun ia juga bercanggah dengan prinsip 'Islamiah'.

"Memandangkan TH Plantations telah gagal menjawab rayuan anak guam kami dalam tempoh masa munasabah yang diberikan, kami selanjutnya diarahkan oleh anak guam kami bahawa beliau telah menyempurnakan kesemua proses dalaman yang ada dalam mencabar penamatan perkhidmatan beliau.

"Justeru, anak guam kami telah memfailkan aduan pembuangan kerja secara tidak sah di bawah Seksyen 20(1) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Kuala Lumpur pada hari ini menuntut untuk dipulihkan perkhidmatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TH Plantations," menurut kenyataan itu.

JPP telah menetapkan tarikh runding damai antara Mohamed Zainurin dengan TH Plantations pada 30 Oktober 2025 di hadapan Tuan Ibrahim Ishak.

Justeru, pihaknya menyeru TH Plantations untuk memberikan sepenuh kerjasama semasa prosiding runding damai di JPP untuk menyelesaikan isu itu demi kebaikan pemegang saham TH Plantations, khususnya TH, yang mempunyai sekitar sembilan juta pendeposit di seluruh negara.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

THPLANT 0.530

Comments

Login to comment.