Pekebun kecil sawit berpendapatan rendah, PNBRI cadang penyelesaian

HarianMetro Fri, Sep 12, 2025 03:23pm - 1 week View Original


Kuala Lumpur: Pekebun kecil sawit masih terperangkap dalam kitaran berpendapatan rendah dan kekangan sumber walaupun Malaysia mencatat kemajuan besar dalam industri minyak sawit, menurut laporan terbaharu Institut Penyelidikan PNB (PNBRI).

Ketua Penyelidik PNBRI, Farhana Roslan berkata, melalui laporan 'The Realities and Prospects of Sustainability Among Oil Palm Smallholders in Malaysia' mendapati keadaan itu mengehadkan keupayaan mereka untuk mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) atau melabur dalam kelestarian jangka panjang.

Katanya, lebih 60 peratus pekebun kecil terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan lain selain hasil sawit kerana jualan buah tandan segar (BTS) sahaja tidak mampu menampung kos sara hidup dan operasi ladang.

"Mereka terperangkap dalam lingkaran ekonomi rendah yang menyukarkan pelaburan ke arah kelestarian.

"Laporan kajian juga mendapati walaupun hampir 90 peratus kawasan sawit negara telah diperakui di bawah Skim Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), namun pekebun kecil bebas (ISH) masih ketinggalan dari segi keberdayaan ekonomi dan akses kepada pasaran," katanya di majlis pelancaran Laporan PNBRI di sini, hari ini.

Laporan itu dilancarkan oleh Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Farhana berkata, antara dapatan utama kajian adalah pekebun kecil sawit mempunyai pendapatan terhad, di mana sukar meningkatkan hasil kerana kos input yang tinggi dan harga sawit yang tidak stabil.

Beliau berkata, selain itu ramai bergantung kepada pusat pengumpulan swasta atau peraih, yang melemahkan kuasa tawar menawar dan mengurangkan pulangan.

Malah katanya, 61.2 peratus pekebun kecil mempelajari GAP hanya daripada orang sekeliling, menjadikan tahap pematuhan tidak konsisten.

"Skim kewangan, khidmat teknikal dan infrastruktur kerajaan membantu, tetapi menimbulkan persoalan kelestarian sekiranya sokongan itu berkurangan.

"Ramai pekebun kecil juga tidak bersatu untuk tujuan pensijilan atau akses pasaran, malah wujud isu pemilik ladang tidak aktif.

"Selain itu, walaupun lebih 80 peratus sudah diperakui dengan pensijilan MSPO, namun masih berdepan isu status tanah, syarat sosial dan pemeliharaan biodiversiti," katanya.

Bagi menangani masalah itu, Farhana berkata, PNBRI mengemukakan beberapa cadangan dasar seperti keperluan melatih generasi baharu pekebun kecil melalui Program Agropreneur Muda TVET.

Beliau berkata, pembelian input secara pukal perlu dipermudahkan bagi mengurangkan kos selain membangunkan teknologi mesra pekebun kecil yang praktikal dan murah.

Katanya, meningkatkan literasi kewangan serta kerjasama antara pekebun kecil dan syarikat besar turut perlu dilaksanakan selain memperketat kawal selia pusat pengumpulan dan mempelbagaikan sumber input pertanian.

"Industri perlu memperluas modul latihan GAP termasuk aspek pengurusan kewangan dan penggunaan teknologi digital.

"Peranan jelas setiap agensi dalam rantaian bekalan perlu dilaksanakan serta memperkukuh penguatkuasaan terhadap penjualan BTS tidak diperakui dan meningkatkan reputasi pensijilan MSPO melalui strategi komunikasi berfokus kepada pekebun kecil," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata, laporan PNBRI merupakan hasil daripada penyelidikan intensif, libat urus pelbagai pihak berkepentingan dan kerja lapangan di seluruh negara selama hampir dua tahun.

Beliau berkata, kajian itu juga mencerminkan pengiktirafan PNB terhadap kepentingan ilmu dan

penyelidikan yang boleh memberi impak bermakna kepada dasar awam, seterusnya memperkasa industri dan rakyat Malaysia.

"Dapatan daripada kajian ini juga menyokong usaha Kumpulan PNB untuk memacu automasi dan pertanian pintar dalam minyak sawit di bawah inisiatif GEAR-uP kerajaan, serta penekanan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) terhadap peningkatan standard pensijilan kelestarian tempatan.

"Secara lebih menyeluruh, ia mencerminkan aspirasi utama Ekonomi MADANI dan RMK13 untuk merombak pembangunan negara melalui transformasi dipacu teknologi, peningkatan sosioekonomi dan kemakmuran yang mampan untuk negara secara keseluruhan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

azizul ishak
Like · Reply
no need to reseacrh la this one if below 1 acre confirm not big income amduii

Login to comment.