Kuala Lumpur: Peralihan ketara trend penggunaan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) daripada barangan kehendak seperti fesyen dan gajet kepada keperluan asas termasuk barangan harian, insurans dan takaful mencerminkan strategi pengguna dalam menguruskan tekanan kewangan harian secara lebih bijak.
Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, ia cerminan nyata terhadap perubahan tingkah laku pengguna serta keperluan kepada akses kredit alternatif yang lebih pantas dan fleksibel.
Katanya, trend ini menunjukkan pengguna semakin bijak menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi melalui kaedah kredit mikro yang lebih fleksibel dan mesra pengguna.
"BNPL dilihat sebagai alat pengurusan tunai jangka pendek yang membolehkan isi rumah menangani beban kos sara hidup.
"Ia juga alternatif kepada sistem kredit tradisional yang lebih rigid dan tidak mesra pengguna, terutamanya bagi mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan sederhana dan rendah," katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, pendekatan ini bukan semata-mata mencerminkan kesempitan kewangan tetapi juga kebijaksanaan pengguna yang kini lebih celik kewangan dalam membuat keputusan berbelanja secara berhemah.
"Pengguna hari ini cenderung memilih kaedah bayaran yang memberi fleksibiliti, cepat dan mudah ini sejajar dengan perubahan gaya hidup moden dan perkembangan teknologi kewangan (fintech) yang pesat," katanya.
Beliau berkata, pakar pasaran juga berpandangan bahawa BNPL semakin berkembang menjadi satu bentuk akses kredit mikro yang berkesan dalam membantu pengguna menyusun aliran tunai terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar serta inflasi yang masih belum reda.
"Dari satu sudut, ia menunjukkan pengguna tidak lagi melihat BNPL sebagai jalan untuk berbelanja mewah semata-mata, tetapi sebagai sokongan kewangan untuk keperluan asas dan ini perubahan yang besar dari segi persepsi dan aplikasi.
"Namun, strategi BNPL perlu lebih inklusif dan berpandukan penilaian keupayaan pembayaran dan pendekatan yang mendorong hutang berlebihan tanpa kawalan akan memberi kesan negatif kepada ekonomi pengguna dalam jangka panjang," katanya.