KUALA LUMPUR: Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCTH) melalui anak syarikat tidak langsungnya, PT Lotte Chemical Titan Nusantara (LCTN) menandatangani perjanjian untuk membeli etilena bernilai RM12.69 bilion selama 10 tahun daripada satu lagi anak syarikat LCTH, PT Lotte Chemical Indonesia (LCI).
LCTH berkata, LCTN yang menghasilkan produk petrokimia huluan, membeli etilena sebagai bahan suapan untuk menghasilkan produk polietilena sebagai sebahagian daripada aktiviti perniagaannya yang biasa.
LCTN merupakan anak syarikat tidak langsung milik 92.5 peratus LCTH, manakala LCI ialah anak syarikat milik 51 peratus. Transaksi yang dicadangkan ini dianggap sebagai urus niaga berulang pihak berkaitan.
"Kuantiti tahunan yang akan dibeli oleh LCTN adalah sebanyak 350,000 tan di mana jumlah etilena yang akan dibeli setiap bulan akan diselaraskan secara prorata daripada jumlah tahunan itu sepanjang tempoh 12 bulan," kata LCTH dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

LCTH juga berkata, transaksi yang dicadangkan itu dijangka mewujudkan kesan sinergi antara LCTN dan LCI, termasuk pembekalan etilena daripada LCI kepada LCTN dan menjana kesan positif secara langsung dan tidak langsung kepada LCTH Group.
"Daripada perspektif jangka panjang, LCTN dijangka mendapat manfaat daripada harga pembelian etilena yang lebih kompetitif dan stabil disebabkan oleh kedekatan lokasi geografi dengan LCI, yang membolehkan logistik yang lebih cekap dari segi masa dan kos berbanding mendapatkan bekalan daripada vendor import lain," katanya.
"Selain itu, transaksi yang dicadangkan membolehkan LCTN mendapatkan bekalan bahan suapan yang mampan untuk kelangsungan operasinya," kata LCTH.
-BERNAMA