KUALA LUMPUR: OSK Holdings Bhd sedang mengembangkan perniagaan dengan menceburi perniagaan pembiayaan motosikal melalui pembelian ke atas syarikat pembiayaan sewa beli, Wilayah Credit Sdn Bhd, pada RM16.50 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat konglomerat itu menjelaskan anak syarikat milik penuhnya, OSK Retail Capital Sdn Bhd (OSKRC), menandatangani perjanjian penjualan saham dengan Platinum Moment Sdn Bhd, yang memiliki sepenuhnya Wilayah Credit.
"Pembelian yang dicadangkan itu akan membolehkan perniagaan pembiayaan pengguna OSK berkembang dengan menceburi perniagaan pembiayaan motosikal, selaras dengan strategi OSK untuk mempelbagaikan tawaran produk pembiayaan pengguna," menurut kenyataan itu.
Apabila pembelian itu selesai, OSK akan mengaturkan supaya Wilayah Credit menjual tiga hartanah yang masih dalam pemilikannya, yang terletak di Kuala Lumpur, kembali kepada Platinum Moment pada RM12.60 juta.
Pembelian itu dijangka selesai pada suku ketiga 2025, jelas OSK.
Wilayah Credit mempunyai modal saham terbitan dan modal saham berbayar RM10 juta yang dibahagikan kepada 10 juta saham biasa.
-BERNAMA