Malaysia perlu tenaga nuklear untuk capai sifar bersih menjelang 2050

HarianMetro Tue, Jun 17, 2025 01:19pm - 4 weeks View Original


Kuala Lumpur: Malaysia tidak akan mampu untuk mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050 jika tidak membabitkan penggunaan tenaga nuklear.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, apabila kerajaan mengumumkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), tumpuan bukan sahaja pada aspek pengeluaran atau peralihan tenaga, tapi juga perubahan dalam corak penggunaan tenaga.

Katanya, kini semakin ramai berminat untuk melabur dan datang ke Malaysia, jadi, sudah tiba masanya untuk melihat semula pendekatan tenaga negara secara menyeluruh merangkumi tiga perkara utama iaitu kemampuan, kelestarian dan keselamatan bekalan.

"Persoalannya, dari mana kita nak dapatkan sumber 'base load' (bekalan asas) menggantikan bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas, yang selama ini menjadi tunjang utama bekalan tenaga.

"Walaupun tenaga nuklear bukan dikategorikan sebagai tenaga boleh baharu, ia adalah antara sumber tenaga paling bersih dari segi pelepasan karbon. Jadi pada pandangan saya, tanpa tenaga nuklear, kita mungkin tidak mampu mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.

"Ini adalah realiti yang perlu kita hadapi. Malah, kita perlu mendesak agar kementerian melihat isu ini secara serius. Kami di peringkat kementerian sudah ada perancangan awal, tetapi pelaksanaan sebenar hanya boleh berlaku apabila kerajaan bersedia sepenuhnya dan lebih penting lagi, apabila rakyat juga bersedia untuk menerima bahawa tenaga nuklear adalah antara pilihan terbaik untuk memastikan matlamat sifar bersih dapat dicapai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam sesi bertajuk Melaksanakan Peralihan Tenaga Malaysia pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Sesi itu turut disertai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong. Ia dikendalikan oleh Pengerusi Cypark Resources Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai moderator.

Sementara itu Amir Hamzah berkata, pembinaan grid kuasa serantau ASEAN yang saling berhubung bukan sahaja mampu memperkukuh kestabilan bekalan tenaga, malah membuka laluan untuk negara-negara anggota menilai kembali peranan tenaga nuklear sebagai komponen penting dalam peralihan kepada tenaga bersih.

Katanya, bagi negara seperti Malaysia yang tidak memiliki sumber hidro secara meluas, keterhubungan grid ASEAN akan membolehkan bekalan dari negara jiran yang lebih berupaya termasuk dari sumber hidro dan nuklear disalurkan ke pasaran domestik dengan lebih cekap dan mapan.

"Malaysia mungkin tidak mempunyai sumber hidro yang mencukupi, tetapi negara jiran di ASEAN ada potensi besar. Jadi apabila grid kuasa serantau dihubungkan, kita boleh menerima tenaga dari sumber-sumber itu.

"Dalam konteks ini, jika tenaga nuklear menjadi antara pilihan yang dipertimbangkan rantau ini, maka Malaysia juga perlu bersedia untuk menilai dan menerimanya sebagai sebahagian daripada penyelesaian," katanya.

Menurut beliau, teknologi nuklear mungkin dianggap baharu di Malaysia, namun tidak di peringkat global, dan ia telah terbukti sebagai salah satu sumber tenaga yang stabil dan rendah karbon.

"Penempatan loji nuklear tidak semestinya di Malaysia. Ia boleh dibangunkan di negara lain dalam ASEAN tetapi manfaatnya dikongsi bersama melalui grid dagangan kuasa yang aktif.

"Ini bukan satu cadangan mustahil, malah semakin relevan jika kita benar-benar serius mahu capai sasaran sifar bersih," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

CYPARK 0.925

Comments

Alan thePlanner
Like · Reply
boleh je, Bina. next to Singapore ~~
Tteffub Nerraw
LYNAS so clean also cannot accept... LOL Sembang Kari neh
Like · 4 weeks · translate

Login to comment.