KUALA LUMPUR: Suntikan dana RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Bhd dalam bentuk pinjaman oleh kerajaan dilihat sebagai usaha positif demi kelangsungan kewangan vendornya yang terkesan, kata penganalisis.
Ahli Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Dr Barjoyai Bardai, berpandangan bahawa kerajaan sudah cukup berhati-hati sebelum memberikan pinjaman itu dengan membuat audit dan kemudian menstrukturkannya sebagai bentuk pinjaman.
Beliau berkata, yang penting suntikan dana itu diperlukan untuk membayar kepada kontraktor yang bekerja dengan Sapura Energy termasuk kontraktor kecil dan sederhana Bumiputera.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan kemungkinan kontraktor yang terbabit terpaksa 'gulung tikar'.
"Secara teori, ia (suntikan dana RM1.1 bilion) bukan satu dana hangus sebab ia adalah satu bentuk pinjaman. Ia boleh diterima sebagai satu usaha yang positif," katanya kepada BH.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata bantuan yang diberikan bukan geran, tetapi dalam bentuk pinjaman saham iaitu langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) yang memastikan Sapura Energy boleh memperbetulkan kembali modul perniagaannya.
Beliau percaya kerajaan telah menilai sedalam-dalamnya kesan negatif sekiranya dibiarkan Sapura Energy dan vendornya gulung tikar jika tiada sebarang tindakan proaktif dilaksanakan.
Malah, katanya, apatah lagi ia juga mencakupi aspek aset strategik negara dalam industri minyak dan gas (O&G) sekiranya aset Sapura Energy dilelong kepada entiti milik negara lain.
"Masalah Sapura Energy telah berlaku bertahun-tahun dulu. Ia masalah yang berat memandangkan jangkauan 2,000 vendor Sapura Energy yang tidak dibayar dan terpaksa menanggung tekanan ketara bukan saja dari institusi perbankan tetapi juga keseluruhan rantaian nilai industri minyak tempatan.
"Permodalan Nasional Bhd (PNB) sebagai pemegang saham utama Sapura Energy telah pun menganalisa dan mengkaji bahawa RM1.1 bilion ini akan disalurkan kepada vendor berkenaan, yang rata-ratanya 80 peratus milik Bumiputera, supaya mereka tidak gulung tikar dan menyebabkan kesan berganda kepada ekonomi termasuklah pembuangan pekerja yang besar jumlahnya," katanya.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga bersetuju bahawa sebarang keputusan oleh kerajaan untuk menyuntik dana ke dalam sesebuah syarikat sudah tentu telah melalui usaha wajar dan mempunyai potensi untuk bayaran balik dana itu.
Bagi kes Sapura Energy, beliau berpendapat bahawa syarikat itu mempunyai potensi untuk kembali mencapai prestasi seperti sebelumnya dan kekal mampan kerana harga minyak dunia sekarang agak tinggi dan stabil antara AS$70 satu tong ke AS$80 satu tong.
Justeru, katanya, suntikan dana yang bertujuan menangani isu kecairan jangka masa pendek itu akan membolehkan Sapura Energy kekal berdaya saing dan tidak akan menyebabkannya ditutup hanya kerana kekurangan dana untuk keperluan jangka pendek.
"Suntikan dana ini seterusnya dapat memastikan pekerja Sapura Energy kekal dan industri sampingan masih lagi dapat berurusan dengannya dan tidak akan berlaku kesan negatif yang ketara kepada pemain industri yang lain," katanya.