Gamuda, 99 Speed Mart berpotensi muncul 30 syarikat terbesar Bursa Malaysia

BeritaHarian Mon, Oct 07, 2024 01:21pm - 5 months View Original


99 Speed Mart Retail Holdings Bhd.
99 Speed Mart Retail Holdings Bhd.

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd dan 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd berpotensi tersenarai sebagai komponen baharu dalam indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), yang terdiri daripada 30 syarikat terbesar disenaraikan di Pasaran Utama berdasarkan kedudukan modal pasaran terkini mereka.

Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB), Gamuda kini berada di tangga ke-23 di Bursa Malaysia setakat penutupan pasaran pada 4 Oktober lalu.

Katanya, sekiranya kedudukan berkenaan kekal pada atau melebihi tangga ke-25 pada semakan konstituen akan datang, Gamuda dijangka tersenarai.

"Sementara itu, 99 Speed Mart yang kini berada di kedudukan ke-27 juga berpeluang tersenarai jika berjaya meningkatkan kedudukan modal pasarannya," katanya dalam satu nota penyelidikan semalam.

Maybank IB berkata, jika Gamuda tersenarai, Genting Malaysia Bhd yang kini berada di tangga ke-36 mungkin akan digugurkan.

"Penilaian juga menunjukkan bahawa kedua-dua Gamuda dan 99 Speed Mart telah melepasi ujian kecairan, syarat penting untuk layak sebagai komponen FBM KLCI.

"Walaupun Gamuda dan Genting Malaysia kekal sebagai pilihan 'beli' dalam kajian Maybank IB, 99 Speed Mart masih belum dinilai," katanya.

Menurut peraturan siri indeks FTSE Bursa Malaysia yang dikemas kini pada Mac 2024, semakan konstituen FBM KLCI akan dilakukan menggunakan harga saham pada penutupan 25 November 2024.

Sekiranya terdapat perubahan, ia dijangka berkuat kuasa selepas pasaran ditutup pada Jumaat ketiga bulan Disember, iaitu 20 Disember 2024, dan akan berkuat kuasa pada Isnin berikutnya, 23 Disember 2024.

Maybank IB berkata, berdasarkan harga saham sehingga penutupan pada 4 Oktober, Gamuda kini berada di kedudukan ke-23 bagi modal pasaran penuh.

Katanya, jika Gamuda mengekalkan atau meningkatkan kedudukannya di atas tangga ke-25 pada 25 November nanti, ia akan layak sebagai komponen FBM KLCI.

"Genting Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-36 dijangka akan digugurkan sekiranya ini berlaku," katanya.

Maybank IB menganggarkan bahawa Gamuda memenuhi syarat ujian kecairan untuk layak disenaraikan.

"Sekiranya Gamuda tersenarai sebagai komponen, Maybank IB menganggarkan berat indeks KLCI untuk Gamuda akan menjadi sekitar 3.32 peratus berbanding Genting Malaysia yang kini pada kadar 1.14 peratus.

"Ini disebabkan oleh modal pasaran Gamuda yang lebih besar (1.67 kali ganda daripada Genting Malaysia) dan jumlah saham apungan yang lebih besar.

"Pembererat indeks Gamuda di KLCI dianggarkan berada pada tangga keenam, satu tangga di bawah IHH (3.62 peratus) dan satu tangga di atas Telekom Malaysia (3.26 peratus)," katanya.

Jika Gamuda berjaya tersenarai, sektor pembinaan akan kembali diwakili dalam indeks penanda aras itu.

Kali terakhir sektor itu diwakili adalah pada 2017 apabila IJM Corporation menjadi komponen dalam indeks terbabit pada Disember 2016, sebelum digugurkan setahun kemudian.

Penyenaraian Gamuda juga dijangka akan mengurangkan pemberat beberapa sektor lain dalam indeks KLCI seperti kewangan, utiliti, telekomunikasi dan perladangan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

99SMART 1.970
BURSA 7.470
FBMKLCI 1520.150
GAMUDA 4.060
GENM 1.780
TM 6.700

Comments

Login to comment.