JOHOR BAHRU: Gemilang International Limited (GML), pengeluar bas dan badan bas berpangkalan di Malaysia yang disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong memeterai kontrak bersama peneraju mobiliti terkemuka di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Futtaim Auto & Machinery Company (FAMCO) untuk membekalkan 76 bas dua tingkat Volvo kepada Lembaga Pengangkutan dan Jalan Dubai (Dubai RTA) di UAE.
Pengarah Eksekutif GML, Pang Jun Jie, berkata kontrak itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan berkualiti tinggi dan inovatif serta kepercayaan yang telah dibina bersama FAMCO dan rakan kongsi antarabangsa.
"Sebagai sebuah syarikat yang berbangga dengan identiti Malaysia, kami berbesar hati untuk menyumbang kepada pembangunan sistem pengangkutan awam Dubai.
"Projek ini juga mencerminkan usaha kami untuk memperluas jejak global Gemilang, dengan tumpuan kepada peralihan kepada tenaga lestari dan kenderaan elektrik (EV).
"Dengan keupayaan unik dan rekod prestasi yang telah dibina, kami berada di posisi yang baik untuk mendapatkan lebih banyak projek antarabangsa pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
Majlis menandatangani kontrak itu berlangsung 3 Oktober lalu di Johor Bahru, disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Loke menyatakan bahawa kerjasama antara GML dan FAMCO menandakan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh dalam sektor pembuatan automotif global.
Beliau juga menekankan kepentingan projek-projek seperti ini dalam menunjukkan potensi Malaysia sebagai pemain utama dalam industri automotif global.
"Detik ini mencerminkan keupayaan sektor automotif Malaysia di pentas global. Gemilang, dengan pengalaman luas dan komitmen terhadap kecemerlangan, sekali lagi membuktikan bahawa kenderaan buatan Malaysia dipercayai dan dihormati di seluruh dunia.
"Penghantaran 76 bas dua tingkat kepada FAMCO ini melambangkan kepakaran syarikat-syarikat Malaysia dalam menghasilkan penyelesaian pengangkutan yang kukuh dan berkualiti tinggi untuk pasaran yang pelbagai," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Serantau FAMCO, Ramez Hamdan, berkata projek ini bukan sekadar penghantaran bas, ia bertujuan untuk meningkatkan keseluruhan infrastruktur pengangkutan awam di Dubai.
"Di FAMCO, kami percaya bahawa inovasi sebenar tercetus daripada kerjasama dengan yang terbaik. Kami berbangga dapat memanfaatkan kepakaran global Volvo dan Gemilang untuk menyediakan penyelesaian pengangkutan bertaraf dunia yang menetapkan penanda aras baharu untuk keselamatan, kecekapan, dan kelestarian di rantau ini," katanya.
Kontrak ini adalah pencapaian penting dalam kerjasama antara GML dan FAMCO, pembekal utama trak, bas serta peralatan pembinaan di UAE dan Asia Barat.
Projek RTA Dubai akan menampilkan bas dua tingkat yang dibina di atas casis Volvo, dilengkapi dengan struktur aluminium inovatif dari GML yang menggunakan Teknologi Badan Bas Aluminium Alloy dan Sistem Bolt dari Constellium.
Selain bas dua tingkat, GML juga akan membekalkan bas elektrik Volvo BZL kepada FAMCO, sekali gus menunjukkan komitmen GML terhadap pengangkutan lestari.