Kerajaan stabil, Bursa Malaysia dijangka melonjak sebelum Belanjawan 2025 - Penganalisis

BeritaHarian Sun, Oct 06, 2024 02:56pm - 5 months View Original


Pasaran yakin bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal stabil hingga akhir penggal pada 2027 - Gambar Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim
Pasaran yakin bahawa Kerajaan Perpaduan akan kekal stabil hingga akhir penggal pada 2027 - Gambar Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

Oleh Mohd Zaky Zainuddin

zaky@bh.com.my

Pasaran saham Malaysia dijangka mencatatkan kenaikan mendadak menjelang pembentangan Belanjawan 2025, terutama disebabkan oleh kestabilan politik yang semakin pulih serta sentimen pelabur yang lebih optimis.

TA Securities dalam satu nota penyelidikan berkata, pasaran kini sedang menuju ke arah 'rali prabelanjawan' seperti yang pernah berlaku sebelum ini, apabila kerajaan berada dalam keadaan stabil.

Dengan sentimen pasaran memberangsangkan dan jangkaan belanjawan pragmatik, prospek indeks penanda aras utama pasaran, FBM KLCI dilihat cerah.

FBM KLCI mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh 45 bulan pada 30 Ogos lalu, dengan mencecah 1,684.68 mata, peningkatan sebanyak 230 mata berbanding penutupan tahun lalu.

TA Securities berkata, walaupun ketidaktentuan disebabkan oleh konflik di Asia Barat menggugat keyakinan pelabur, prestasi indeks ini dijangka terus kukuh pada suku keempat 2024.

"Malaysia kini berada pada asas ekonomi yang lebih baik, disokong oleh keuntungan korporat yang stabil, kestabilan politik dan peningkatan pelaburan asing selepas Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada September lalu.

"Suku keempat secara tradisi menjadi tempoh yang baik bagi pasaran ekuiti, disokong oleh aktiviti 'mencantikkan akaun' oleh dana institusi.

"Pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober dijangka menjadi pemangkin utama kepada pasaran dengan kerajaan dijangka menekankan disiplin fiskal dan melaksanakan reformasi berimpak tinggi untuk pembangunan mampan," katanya.

Meskipun prospek pasaran kelihatan positif, namun TA Securities terdapat beberapa risiko global yang perlu diperhatikan, seperti ketegangan geopolitik, perang dagangan, Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat dan kelembapan pertumbuhan ekonomi China.

Ia mengekalkan sasaran akhir 2024 bagi FBM KLCI pada 1,690 mata, dengan potensi untuk mencabar paras tertinggi sepanjang masa pada 2025, jika tiada sebarang kejadian luar jangka.

Kembali kepada trend positif

Sejarah menunjukkan bahawa pasaran saham cenderung untuk meningkat menjelang pembentangan belanjawan, terutama apabila kerajaan dilihat mesra perniagaan.

"Berdasarkan data sejak 1997, terdapat kebarangkalian 53.6 peratus FBM KLCI meningkat sebulan sebelum belanjawan dan 64.3 peratus dua minggu sebelum belanjawan.

"Jika tempoh ketidakstabilan politik antara 2018 hingga 2023 tidak diambil kira, kebarangkalian ini meningkat kepada 61.9 peratus dan 81 peratus.

"Dengan Kerajaan Perpaduan yang kini memiliki majoriti dua pertiga, pasaran dijangka kembali kepada trend positif. Kemenangan besar dalam pilihan raya kecil (PRK) di Mahkota, Johor baru-baru ini turut mengukuhkan keyakinan bahawa kerajaan ini akan kekal stabil hingga akhir penggal pada 2027," katanya.

Antara langkah utama yang dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2025 termasuk usaha menarik pelaburan, mempercepat reformasi fiskal dan memperkukuh mekanisme penyampaian awam.

Kerajaan dijangka komited terhadap pembangunan mampan tanpa mengorbankan pertumbuhan ekonomi.

Jumlah peruntukan Belanjawan 2025 dianggarkan mencecah RM403.7 bilion, yang dijangka memberi impak positif kepada pelabur dan pasaran.

Industri pembinaan dan hartanah dijangka mendapat manfaat terbesar daripada projek infrastruktur besar seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, serta pembangunan di Malaysia Timur.

Menurut TA Securies, Belanjawan 2025 juga dijangka memperkenalkan langkah untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

"Ini termasuk kemungkinan kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 kepada antara RM1,700 hingga RM1,800, serta peningkatan dalam pelepasan cukai dan rebat. Langkah ini bertujuan membantu rakyat menampung kos kehidupan yang semakin meningkat," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

FBMKLCI 1512.770

Comments

Login to comment.