KUALA LUMPUR: Velesto Energy Bhd (Velesto), melalui anak syarikatnya Velesto Drilling Sdn Bhd, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat teknologi global, SLB ketika Forum Digital SLB 2024 di Monaco.
Kerjasama selama tiga tahun itu akan menyaksikan SLB menggunakan penyelesaian 'DrillOps Intelligent Well Delivery' dan Penyelesaian Wawasan serta Penyelesaian Pengurusan Emisi Penggerudian pada pelantar terpilih Velesto.
Penyelesaian digital ini direka untuk meningkatkan dan mengoptimumkan prestasi penggerudian serta memantau pelepasan, sekali gus membuka potensi komersial untuk kedua-dua pihak.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim, berkata perjanjian itu mewakili perubahan ketara dalam pendekatan syarikat untuk meningkatkan kemampuan teknikal pelantar.
"Dengan menggabungkan perkhidmatan berkualiti tinggi, keselamatan dan kemajuan terkini dalam digital serta teknologi, kami komited untuk memberikan prestasi tinggi dan hasil yang efisien kepada pelanggan kami.
"MoU ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneroka peluang baharu dan memberikan manfaat bersama dengan memanfaatkan kekuatan dan keupayaan unik setiap organisasi, membuka jalan kepada pendekatan inovatif untuk mengatasi cabaran industri," katanya dalam satu kenyataan.
Velesto ialah penyedia perkhidmatan multinasional untuk sektor huluan industri minyak dan gas melalui kumpulan enam pelantar penggerudian 'jack-up; premium milik penuhnya dan dua unit kerja hidraulik.
Syarikat itu adalah pemilik dan pengendali pelantar penggerudian 'jack-up' terbesar dari Malaysia dan Asia Tenggara.
Selain dari pangkalan di Malaysia, Velesto mempunyai pengalaman beroperasi di negara Asia Tenggara seperti Indonesia, Vietnam, Filipina dan Thailand yang mempunyai rekod prestasi yang kukuh untuk bekerjasama syarikat minyak dan gas tempatan serta antarabangsa.