Sime Darby Plantation cadang tukar nama kepada SD Guthrie

BeritaHarian Tue, Apr 30, 2024 03:14pm - 3 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Sime Darby Plantation Bhd (SD Plantation) mengumumkan hasrat untuk menukar nama jenamanya kepada SD Guthrie Bhd.

Keputusan itu diumumkan kepada Bursa Malaysia bagi memaklumkan orang ramai mengenai syarikat itu dan mendapatkan kelulusan pemegang saham bagi jenama baharu pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

"Ini adalah peristiwa bermakna dalam sejarah 200 tahun kami dan tiba pada waktu yang penting bagi kami sebagai sebuah organisasi," kata Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani. 

"Kami telah mewujudkan kepimpinan yang jelas dalam industri dalam pelbagai bidang dan telah mengembangkan perniagaan hiliran menjadi penyumbang hasil yang ketara.

"Sebagai pemilik tanah di Malaysia, kami juga menyedari banyak peluang untuk mencipta nilai kepada pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan.

Nik Norzrul berkata, keputusan penjenamaan semula itudibuat selepas beberapa bulan perbincangan dengan pakar dalam bidang undang-undang, harta intelek dan identiti jenama.

Katanya, semua kelulusan undang-undang dan peraturan yang diperlukan untuk penjenamaan semula akan diperoleh.

"Kami percaya adalah hak prerogatif mana-mana syarikat besar yang mempunyai cita-cita pertumbuhan yang mampan, untuk memiliki dan mengawal jenama serta identitinya," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan SD Plantation, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, pula berkata dengan perubahan kepada SD Guthrie, pihaknya akan dapat kawalan penuh ke atas identiti dan meneroka peluang yang paling sesuai untuk kepentingan pemegang saham.

"Jenama Sime Darby yang dimiliki dan dikawal oleh Sime Darby Bhd merupakan bekas syarikat induk SD Plantation di mana sejak pengasingan dan penyenaraian SD Plantation enam setengah tahun lalu, ia telah beroperasi di bawah satu lesen, yang tertakluk kepada syarat perjanjian pelesenan jenama dan tanda dagangan serta membayar yuran tahunan untuk penggunaan jenama Sime Darby.

"Keadaan ini memberikan kekangan yang besar terhadap keupayaan SD Plantation untuk membuat keputusan strategik sendiri bagi jenama dan perniagaan. Dalam mencadangkan SD Guthrie sebagai jenama baharu, syarikat menyasarkan untuk menonjol diri sebagai pemain bersepadu sepenuhnya dalam industri, dengan minat dan potensi melangkaui perladangan huluan.

"Selain itu, jenama SD Guthrie adalah sebahagian daripada sejarah syarikat, memberi penghormatan kepada masa lalunya sebagai sebahagian daripada kumpulan Sime Darby, serta asal usulnya yang lebih 200 tahun lalu bersama Alexander Guthrie," katanya.

Beliau berkata, selama bertahun-tahun, melalui pelbagai proses korporat, ia berkembang menjadi salah satu syarikat perladangan terbesar di dunia.

"Walau bagaimanapun bagi kami, komitmen terhadap kemampanan, inovasi dan kualiti adalah sama pentingnya dengan skala, jangkauan serta kapasiti kami di mana kami terus meneroka teknologi baharu dan melabur dalam peningkatan berterusan, selain memahami perubahan keperluan dunia dan menantikan masa depan yang menarik," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.300
SIME 2.820
SIMEPLT 4.460

Comments

Login to comment.