KUALA LUMPUR: MAA Group Bhd (MAAG) memeterai perjanjian jual beli saham dengan Khidmat Kejora Sdn Bhd dan Neo Pixel Sdn Bhd untuk menjual keseluruhan pegangan MAAG dalam Turiya Bhd pada harga RM52.86 juta.
MAAG dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan penjualan itu terdiri daripada 132.15 juta saham biasa, mewakili 57.78 peratus kepentingan ekuiti dalam Turiya.
Turiya terbabit terutamanya dalam penyewaan dan pengurusan hartanah, serta dalam pembuatan dan dagangan bahan kimia bagi industri semikonduktor melalui anak-anak syarikatnya.
MAAG berkata, cadangan penjualan itu akan membolehkan kumpulan menyusun semula strategi dan sumber kewangan serta modalnya, yang berpotensi untuk peluang pelaburan seperti mengembangkan perniagaan sedia ada atau meneroka usaha baharu.
"Menerusi cadangan penjualan itu, MAAG dapat memanfaatkan dan merealisasikan nilai pelaburan dalam Turiya.
"Pada masa depan, fokus utama kumpulan akan kekal untuk membangunkan perniagaan sedia ada, terutamanya dalam segmen pendidikan, perkhidmatan hospitaliti, pawagam, pinjaman wang dan perkhidmatan pemfaktoran hutang, serta meneroka usaha niaga atau pelaburan baharu," kata syarikat pegangan pelaburan itu.
-BERNAMA