PCG tumpu majukan inisiatif pertumbuhan, perkukuh prestasi operasi

BeritaHarian Wed, Apr 24, 2024 06:49pm - 1 week View Original


KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) sedang menumpukan usaha ke arah memajukan inisiatif pertumbuhan serta mengukuhkan prestasi operasi walaupun menjangkakan 2024 akan terus menjadi tahun yang mencabar.

Kumpulan itu menzahirkan komitmen untuk memantapkan prestasi operasinya dengan strategi kebolehpercayaan loji yang merangkumi keutamaan risiko aset dan pelaksanaan penyelenggaraan proaktif bagi mengurangi kejadian yang tidak dirancang.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Mazuin Ismail, berkata PCG juga akan terus memupuk hubungan yang lebih baik dengan pelanggan untuk memastikan ia menyampaikan produk dan penyelesaian yang selaras dengan permintaan pasaran yang dinamik.

"Selain itu, kami akan memajukan usaha kemampanan kami dan meneroka peluang pertumbuhan baharu.

"Melalui usaha ini, PCG akan berada pada kedudukan terbaik serta lincah untuk menangkap peluang semasa dalam kitaran naik ekonomi yang dijangkakan apabila permintaan memulih," katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan itu hari ini.

Pada 2023, kumpulan itu menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi global telah perlahan, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik termasuk pemulihan selepas pandemik China yang agak lembap dengan kos tenaga yang tinggi dan lebihan bekalan produk memburukkan lagi kemerosotan industri, disamping permintaan lemah merentas sektor kimia.

Selain itu, perniagaan komoditi syarikat menghadapi cabaran dalaman dan luaran yang menjejaskan penggunaan loji, mengakibatkan pengeluaran yang lebih rendah, kata PCG.

"Di sebalik cabaran itu, melalui pelaksanaan inisiatif strategik, kami telah mencatatkan jumlah pengeluaran sebanyak 10.4 juta tan termasuk komoditi serta bahan kimia khusus, dan jumlah jualan sebanyak 9.6 juta tan metrik sambil mengekalkan rekod prestasi keselamatan.

"Kami mengakhiri 2023 dengan hasil sebanyak RM28.7 bilion dan keuntungan selepas cukai berjumlah RM1.8 bilion. Syarikat juga membayar dividen sebanyak 13 sen sesaham merangkumi jumlah pembayaran RM1 bilion, mewakili nisbah pembayaran dividen 61 peratus," kata Mazuin.

Beliau juga menegaskan prestasi pertumbuhan PCG kekal stabil selama ini, disokong oleh kedudukan kewangannya yang kukuh.

Pada 2023, antara pencapaian penting lain, PCG telah meraih fasa Sedia untuk Permulaan (RFSU) membabitkan dua lojinya iaitu loji etoksilat serta poliol polieter khusus di Kerteh, Terengganu dan loji lateks butadiena nitril (NBL) di Pengerang, Johor.

Loji di Kerteh akan membolehkan PCG memenuhi permintaan bagi produk busa dalam sektor automotif, pembersihan serta produk penjagaan diri, manakala pengeluaran NBL membolehkan PCG mendapat peluang dalam pasaran sarung tangan lateks global, memandangkan status Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan terbesar di dunia, katanya.

Dua anak syarikatnya, Perstorp Group dan BRB Group turut mencatatkan beberapa perkembangan baharu di bawah platform bahan kimia khusus PCG.

PCG juga menjelaskan, industri kimia turut memainkan peranan penting dalam membangunkan teknologi dan penyelesaian mampan yang menyokong peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.

Pada tahun lalu, PCG telah membuat satu langkah yang signifikan dalam agenda Ekonomi Kitaran untuk menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari apabila mentauliahkan kilang kitar semula kimia termaju di Pengerang.

Malah, melalui anak syarikat bahan kimia khususnya Perstorp, PCG terus mengembangkan portfolio produk mampan dengan pelancaran lima produk baharu yang diperakui ISCC PLUS seperti 2-EH Pro 100 dan Valeric Acid Pro 100, yang mempunyai jejak karbon rendah serta diperbuat daripada 100 peratus kandungan boleh diperbaharui.

"Kami gembira kerana telah mencapai kemajuan yang baik dalam cita-cita kemampanan. Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan sambil berusaha untuk menyepadukan lagi kelestarian ke dalam lebih banyak aspek operasi kami.

"Kami tetap teguh dalam komitmen untuk mengurangkan jejak alam sekitar dan akan terus mengejar matlamat pelepasan sifar bersih, selaras dengan Pelan Hala Tuju Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) 2050 kami," tambah Mazuin.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

PCHEM 6.880

Comments

Login to comment.