MCE labur RM200 juta bina kemudahan baharu di Serendah

BeritaHarian Fri, Apr 19, 2024 05:29pm - 3 weeks View Original


SERENDAH: MCE Holdings Bhd (MCE) melalui anak syarikat milik penuhnya, Multi-Code Electronics Industries (M) Bhd bakal melabur di antara RM150 juta hingga RM200 juta dalam tempoh 10 tahun ini bagi membangunkan kemudahan baharunya di sini.

Sebagai permulaan, pengeluar peralatan asal (OEM) bagi komponen elektronik automotif dan mekatronik itu akan melabur sebanyak RM50 juta bagi membina MCE Auto Hub sebagai kilang pengeluaran baharu itu.

Dibina di atas tapak kawasan seluas 3.24 hektar, apabila siap dibina akhir tahun ini, hab itu bakal menjadi kilang pengeluaran utama MCE yang akan meningkatkan kapasitinya untuk memenuhi peningkatan permintaan terhadap komponen dan sistem elektronik yang canggih dalam kedua-dua kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).

Pengarah Urusan Kumpulan MCE, Dr Goh Kar Chun, berkata pelaburan itu membuktikan komitmen mereka untuk menerajui sektor pembekalan komponen elektronik dan mekatronik automotif di rantau ini.

Katanya, pelaburan dibuat itu juga memanfaatkan kelebihan dimiliki oleh Malaysia dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) yang cukup matang dan meningkatkan kapasiti syarikat untuk membekalkan produk canggih yang direka bentuk, dihasilkan, dan dibuat di Malaysia.

"Pelaburan strategik ini mencerminkan komitmen MCE untuk menangani keperluan kereta generasi akan datang yang sentiasa berkembang, terutamanya dalam penghasilan komponen elektronik automotif yang canggih seperti sistem infotainment kokpit, paparan digital, serta pelbagai komponen lain untuk kenderaan enjin ICE dan EV.

"Lokasi strategik Taman Pembuatan Nilai Tinggi UMW memberi manfaat besar dari segi logistik dan kos, membolehkan kami berada lebih dekat dengan beberapa pelanggan, rakan kongsi dan pembekal.

"Kedudukan kilang yang berdekatan ini membolehkan kami bekerjasama dengan lebih baik dan membantu mewujudka ekosistem elektronik automotif tempatan yang mantap, sekali gus menyumbang kepada keseluruhan sumbangan ekonomi oleh industri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis permulaan pembinaan kilang itu di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Turut hadir, EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Negeri Selangor, Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata pihaknya memuji keputusan besar yang dibuat oleh MCE untuk mengeluarkan solusi canggih yang dapat melonjakkan ekosistem automotif negara.

"Ini adalah cerminan kepada dasar strategik yang digarapkan oleh kerajaan dan juga MITI untuk merancakkan pertumbuhan dalam sektor automotif negara.

"Peralihan ini memerlukan persekitaran pembuatan yang lebih ketat dan berteknologi maju, selaras dengan trend digitalisasi global dan pasaran EV yang berkembang pesat," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MCEHLDG 1.930
MCEHLDG-WA 1.160

Comments

Login to comment.