Segmen OOH sokong Media Prima dalam persekitaran mencabar

BeritaHarian Wed, Apr 17, 2024 04:08pm - 2 weeks View Original


KUALA LUMPUR: RHB Investment Bank Bhd memilih Media Prima Bhd sebagai syarikat pilihan utama dalam sektor media berikutan asas perbelanjaan pengiklanan (adex) yang pelbagai selain terdedah kepada segmen pengiklanan luar rumah (OOH) yang pesat berkembang, di sebalik persekitaran mencabar yang dihadapi oleh industri itu.

Bank pelaburan itu berkata, sektor media dijangka berhadapan dengan keadaan mencabar berikutan impak pelaksanaan program rasionalisasi subsidi kerajaan, tekanan inflasi yang meninggi dan perkembangan geopolitik yang kian menggusarkan.

"Memandangkan perolehan lemah sektor ini sudahpun diambil kira dalam penilaian, strategi pemilihan saham secara taktikal disarankan kepada pelabur," katanya dalam satu nota penyelidikan yang disediakan oleh penganalisis, Jeffrey Tan dan Cindy Lee.

RHB Investment Bank berkata, pertumbuhan Media Prima mungkin terbatas oleh keadaan adex yang lemah, kerugian berpanjangan dalam saluran beli-belah dari rumah dan jualan kandungan yang lebih rendah.

Oleh itu, katanya usaha pelaburan yang berterusan dalam menyuntik nafas baharu pada bahagian kandungan dan teknologi penting bagi mengeratkan lagi hubungan dengan pelanggan ketika era digital masa kini.

"Kami juga dapati pertumbuhan lebih pesat dalam segmen OHH mampu menepis kesan buruk daripada medium adex konvensional yang terus berdepan tekanan struktur," katanya.

Bank itu berkata, di sebalik cabaran yang timbul, adex kasar industri media dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini naik 19 peratus didorong oleh prestasi segmen televisyen siaran percuma (FTA) yang meningkat 19 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, digital (38 peratus) dan radio (24 peratus).

Bagaimanapun, katanya adex pada Februari susut 12 peratus berikutan hari yang lebih singkat dalam bulan berkenaan.

Ia berkata, meskipun adex surat akhbar menurun bulan ke bulan, ia kembali meningkat tiga peratus tahun ke tahun pada Februari, iaitu pertumbuhan positif tahunan pertamanya dalam tempoh 15 bulan.

"Pada pandangan kami, paras inflasi yang tinggi dan usaha pewajaran subsidi yang bakal dilaksanakan kerajaan akan menjadi faktor penghalang utama kepada pertumbuhan adex memandangkan perbelanjaan untuk barangan bukan keperluan dan sentimen pengguna akan terganggu gugat.

"Buat masa ini, unjuran kami untuk adex berkembang sederhana pada angka tunggal bagi tahun 2024 dikekalkan. Hal ini disokong oleh pandangan rasmi kami bahawa momentum ekonomi akan berkembang lebih pesat dan nilai ringgit akan semakin mengukuh pada separuh kedua 2024," katanya.

Sementara itu, RHB Investment Bank berkata perolehan Astro Malaysia Holdings Bhd berdepan beberapa halangan pertumbuhan utama termasuk penghasilan kandungan yang menelan belanja lebih mahal ekoran nilai ringgit yang lemah dan liputan acara-acara sukan.

"Perolehan teras suku keempat 2024 oleh Astro jatuh 17 peratus berbanding suku sebelumnya berikutan keadaan perbelanjaan untuk barangan bukan asasi yang kian melemah menyebabkan ramai pengguna menghentikan langganan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ASTRO 0.305
MEDIA 0.460

Comments

Login to comment.