Solarvest pasang panel PV solar terbesar pusat beli-belah di 1 Utama

BeritaHarian Mon, Apr 15, 2024 04:25pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Bandar Utama City Centre Sdn Bhd melantik anak syarikat Solarvest Holdings Bhd, Solarvest Energy Sdn Bhd, untuk memasang panel fotovoltaik (PV) solar terbesar di Malaysia dan panel PV bersepadu-bangunan di pusat beli-belah 1 Utama.

Sistem tenaga solar itu akan meliputi 273,300 kaki persegi kawasan bumbung dan tempat letak kereta, menjana lebih daripada 5,700 kilowatt puncak (kWp) tenaga boleh baharu bagi membekalkan kuasa kepada pusat beli-belah itu, kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Solarvest akan menyelia kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, dan pengoperasian untuk pemasangan sistem dan menjalankan kajian tapak bagi menentukan kapasiti yang paling kos efektif untuk memenuhi keperluan tenaga pusat beli-belah itu.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong, berkata terdapat peningkatan minat terhadap penggunaan tenaga bersih, terutamanya dalam kalangan pemain komersial dan industri.

"Peningkatan nilai perolehan kontrak kami di Malaysia daripada 1.6 gigawatt (GW) tahun lalu kepada 2.8 GW tahun ini menunjukkan pertambahan pesat penggunaan tenaga bersih," katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Kemampanan 1 Utama, Lee Li Lian, berkata pemasangan sistem tenaga solar itu merupakan langkah kehadapan bagi pusat beli-belah itu untuk mencapai matlamat pembinaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta sifar tenaga.

"Dengan tenaga solar sebagai sumber elektrik yang terjamin dan bertanggungjawab, kami berharap dapat melaksanakan lebih banyak projek pada masa akan datang bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan mengoptimumkan sumber," katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SLVEST 1.640
SLVEST-WA 0.595

Comments

Login to comment.