Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan sentimen berhati-hati

BeritaHarian Mon, Apr 15, 2024 10:51am - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Isnin berikutan sentimen berhati-hati susulan perkembangan semasa konflik Asia Barat, kata penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.50 mata kepada 1,544.54 daripada 1,551.04 ketika ditutup Jumaat lalu.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.59 mata lebih rendah kepada 1,545.45.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 563 berbanding 120, manakala 251 kaunter tidak berubah, 1,418 kaunter tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 472.11 juta unit bernilai RM254.83 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, berkata Wall Street susut dalam tempoh semalaman apabila sentimen sekali lagi dijejaskan oleh kebimbangan inflasi ditambah dengan ketegangan yang semakin meruncing di Asia Barat.

Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) merosot 476 mata manakala Nasdaq turun 276 mata apabila hasil 10 tahun AS susut kepada 4.518 peratus.

"Kami menjangkakan corak dagangan menjadi kurang rancak sejajar dengan penurunan di Wall Street.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,550 hingga 1,560 hari ini," katanya kepada Bernama.

Pak Leng menambah bahawa konflik Asia Barat mendorong harga minyak mentah lebih tinggi, yang menyaksikan minyak mentah Brent ditutup semula di atas AS$90 setong.

Di peringkat domestik, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia pada Ahad menjelaskan bahawa mereka telah meningkatkan pemantauan dan pengawasan pasaran untuk memastikan aktiviti pasaran modal Malaysia kekal stabil, adil dan teratur susulan perkembangan terkini di Asia Barat.

Kedua-dua pihak juga memberi jaminan bahawa asas pasaran kekal kukuh dan pengantara dimodalkan dengan baik.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan sedang memantau dengan teliti perkembangan geopolitik global dan pasaran kewangan.

Di samping itu, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menggalakkan kestabilan kewangan yang berterusan dan pasaran berfungsi dengan teratur.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank turun empat sen kepada RM9.61, Public Bank susut satu sen kepada RM4.17, CIMB kurang tiga sen kepada RM6.58, Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM11.62 dan IHH Healthcare menguncup dua sen kepada RM6.07.

Bagi saham aktif, Dagang NeXchange menambah satu sen kepada 42.5 sen, manakala Harvest Miracle dan Velesto Energy masing-masing naik setengah sen kepada 12.5 sen dan 28 sen.

Sementara itu, Bahvest Resources susut satu sen kepada 59.5 sen dan PUC tidak berubah pada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 58.67 mata kepada 11,639.15, Indeks FBMT 100 susut 53.30 mata kepada 11,273.62, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 53.21 mata kepada 11,809.78, Indeks FBM ACE turun 39.60 mata kepada 5,060.52 dan Indeks FBM 70 jatuh 101.05 mata kepada 16,291.52.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurang 89.81 mata kepada 17,181.99, dan Indeks Perladangan susut 16.79 mata kepada 7,453.90.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.27 mata kepada 184.93 dan Indeks Tenaga menambah 12.31 mata kepada 981.40.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BAHVEST 0.580
BAHVEST-WA 0.170
BURSA 8.200
DNEX 0.440
FBMACE 5351.220
FBMEMAS 12308.180
FBMKLCI 1616.620
IHH 6.270
PBBANK 4.190
PUC 0.055
TENAGA 12.600
VELESTO 0.285

Comments

Login to comment.