WASPADA IMPAK BOIKOT!

HarianMetro Sat, Apr 13, 2024 06:01am - 1 month View Original


Kuala Lumpur: Perniagaan di negara ini perlu lebih sensitif dengan sentimen masyarakat setempat bagi mengelakkan impak boikot.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, isu boikot yang berlaku sekarang ini sudah pasti akan memberi kesan penurunan terhadap perniagaan yang diboikot.

Katanya, walaupun ia lebih bersasar kepada perniagaan tertentu, impak boikot adalah minimum kepada ekonomi domestik.

"Saya melihat pada masa kini, dengan adanya teknologi baharu dan ramai rakyat sering melayari media sosial, agak senang untuk pengguna menganjurkan boikot ke atas sesuatu perniagaan.

"Impak boikot terbabit lebih ketara menyebabkan perniagaan yang disasarkan itu bukan saja akan mengalami penurunan jualan dan keuntungan malah berdepan dengan risiko rugi.

"Oleh itu, amat penting bagi setiap perniagaan untuk benar-benar memahami pemegang taruh mereka dan menjaga kepentingan mereka melalui kaedah dan hubungan yang sesuai.

"Malah, perniagaan perlu lebih sensitif dengan sentimen masyarakat setempat," katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan apa sahaja tindakan yang dilakukan oleh pengguna tidak melanggar undang-undang yang sudah ditetapkan.

Sementara itu, turut mengulas mengenai kesan boikot kepada rantaian perniagaan dan lain-lain yang berkaitan, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sememangnya akan ada kesan terhadap rantaian perniagaan secara tidak langsung.

Beliau berkata, kesan boikot turut akan terpalit terhadap pekerja yang bekerja dengan entiti perniagaan yang diboikot.

"Ini disebabkan jualan yang merosot akan menjejaskan keuntungan kos tetap seperti gaji pekerja yang perlu dibayar meskipun jualan merudum.

"Di samping itu, rantaian perniagaan yang berkaitan seperti bahan mentah, vendor penyediaan perkhidmatan juga akan terjejas akibat merosotnya jualan.

"Dari sudut yang lain pula, pemboikotan ini menunjukkan bahawa pengguna mempunyai kuasa untuk memberi kesan langsung kepada perniagaan.

"Justeru, perkara ini memberi isyarat kepada pengusaha di negara ini bahawa mereka perlu jujur dalam perniagaan serta sentiasa mengekalkan kualiti produk serta perkhidmatan mereka," katanya.

Beliau berkata, isu ini juga membuka mata ramai pihak bahawa kuasa pengguna berupaya menentukan hala tuju sesuatu perniagaan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

shahrul shariff
Like · Reply
nothing new. all over the is facing the same.

only those who are ignorant and never read overseas news will forever be left out

Login to comment.