PETRONAS dijangka habiskan peruntukan modal RM60 bilion tahun ini

BeritaHarian Wed, Mar 13, 2024 12:59pm - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: PETRONAS dijangka menggunakan sepenuhnya perbelanjaan modal RM60 bilion yang diperuntukkan tahun ini dengan tumpuan lebih tinggi diberikan terhadap pelaburan dalam sektor huluan bagi menangani keperluan segera mengimbangi kemerosotan pengeluaran sumber asli.

Penganalisis Kenanga Research, Lim Sin Kiat, berkata dalam tempoh sembilan bulan pertama 2023, PETRONAS hanya membelanjakan RM34.3 bilion, jauh di bawah sasaran tahunannya.

"Memandangkan tinjauan positif terhadap harga minyak mentah Brent, berkemungkinan bahawa PETRONAS akan berusaha untuk memenuhi atau melebihi perbelanjaan modal tahunan ini pada masa hadapan.

"Hasrat ini sejajar dengan butiran yang dikongsi dalam Tinjauan Aktiviti Petronas 2024 hingga 2026, yang meramalkan keperluan untuk 14 pelantar 'jack-up'pada tahun ini, meningkat daripada 12 pelantar pada 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sin Kiat berkata, sebanyak 249 kapal sokongan luar pesisir (OSV) digerakkan untuk penggerudian dan projek pada 2024 meningkat daripada 193 kapal pada 2023, sekali gus menggariskan usaha strategik ke arah memperkukuhkan aktiviti huluannya.

"Kami menaik taraf saranan sektor minyak dan gas kepada 'overweight' daripada neutral sambil menaik taraf Velesto dan Wasco kepada 'outperform' daripada 'prestasi pasaran', semasa semakan keputusan suku keempat 2023 terkini selepas syarikat terbabit mencatatkan prestasi kewangan yang mantap.

"Pada pandangan kami, industri perkhidmatan huluan berada di puncak kitaran menaik yang berpotensi dengan aliran kerja dijangka meningkat sepanjang 2024," katanya.

Beliau berkata, kontrak terma untuk peluang pekerjaan baharu mungkin lebih menguntungkan bagi penyedia perkhidmatan kerana kekurangan bekalan yang berterusan dalam pembekal dan dan aset (kapal dan pelantar).

Katanya, tinjauan sektor hiliran sebaliknya kekal lemah disebabkan lebihan kapasiti di peringkat global dan pemulihan yang perlahan dalam permintaan global.

"Pilihan utama sektor kami ialah Dialog berikutan pemulihannya dalam pasaran terminal tangki dan secara beransur-ansur meningkatkan prospek pengembangan dalam kapasiti di bawah Pengerang Fasa 3.

"Selain itu, kami memilih Yinson, dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM3.47 disebabkan oleh pelbagai projek kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang dijadualkan untuk penghantaran dalam dua tahun akan datang, menawarkan trajektori pertumbuhan kepada asas pendapatannya.

"Kami juga yakin dengan keupayaan pelaksanaan projek Yinson, yang membolehkannya menyiapkan projek yang akan datang tepat pada masanya," katanya.

Tinjauan keseluruhan bagi pasaran minyak mentah Brent keseluruhannya tidak berubah sejak suku keempat 2023.

Kenanga Research mengekalkan sasaran harga minyak mentah Brent pada AS$84 setong bagi 2024.

"Unjuran kami adalah berdasarkan anggapan bahawa OPEC+ (Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu) akan terus mengurangkan pengeluaran sepanjang tahun ini, membolehkan output minyak mentah hanya bertambah 600,000 tong sehari," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

WASCO 1.500

Comments

Login to comment.