Bursa Malaysia di paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan

BeritaHarian Tue, Feb 13, 2024 07:05pm - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan lebih tinggi yang merentasi semua papan pada Selasa dengan indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras tertinggi dalam tempoh 20 bulan atau sejak Jun 2022, dipacu oleh belian kukuh daripada pelabur asing.

Pada 5 petang, indeks penanda aras itu melonjak 19.09 mata kepada 1,531.37 daripada paras 1,512.28 pada akhir dagangan Jumaat lalu.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti ganti bagi Tahun Baharu Cina.

Awal hari ini, FBM KLCI memulakan dagangan dengan menokok 0.35 mata kepada 1,512.63 dan berlegar dalam jajaran 1,512.63 hingga 1,533.16 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 634 berbanding 297 manakala 425 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 927 tidak diniagakan dan 11 lain digantung dagangannya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata pembeli asing giat menyertai dagangan hari ini, termasuk melakukan pembelian saham-saham mewah.

"Dana-dana asing dilihat mula mengalir semula ke rantau ini," katanya kepada Bernama sambil menambah bahawa pasaran Hong Kong dan China masih ditutup bersempena perayaan Tahun Baru Cina.

Beliau berkata, indeks FBM KLCI telah melepasi paras rintangan 1,527 dengan sokongan kukuh daripada dana-dana asing.

"Sehubungan itu, kami kekal optimis secara berhati-hati terhadap (prospek) pasaran saham tempatan, dipacu oleh penilaian terhadapnya yang menarik serta sokongan berterusan daripada aliran masuk dana asing walaupun pada masa sama kami tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti pengambilan untung.

"FBM KLCI dijangka mencatat lonjakan seterusnya sekiranya berupaya mengekalkan kedudukan melebihi paras 1,527 bagi tempoh lebih lama. Kami mengunjurkan indeks itu bergerak dalam aliran 1,520 hingga 1,540 pada minggu ini," katanya.

Terdahulu, MIDF Research melaporkan bahawa pelabur asing mengekalkan belian bersih di Bursa Malaysia dengan aliran masuk RM400.7 juta yang merupakan pembelian bersih untuk minggu ketiga berturut-turut.

Menerusi Laporan Aliran Dana untuk minggu yang berakhir pada 9 Februari 2024, cabang penyelidikan itu berkata pelabur asing merekodkan belian bersih setiap hari dan Selasa mencatat aliran masuk tertinggi yang berjumlah RM188.9 juta.

Dalam pada itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata lonjakan FBM KLCI pada hari ini dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh yang dicatatkan oleh sektor perbankan, tenaga dan perladangan.

"Momentum kenaikan Wall Street juga mungkin berperanan dalam melonjakkan indeks utama itu ketika S&P 500 mencecah paras tertinggi dan melepasi 5,000 mata. Ini berlaku ketika pelabur menunggu pengumuman data Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) pada (lewat) petang ini," katanya.

Sementara itu, Redtone Digital menjadi tumpuan susulan kejayaannya memperoleh kontrak MyGovUC 3.0 selama 60 bulan daripada Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang bernilai kira-kira RM398.1 juta.

Kaunter saham syarikat itu ditutup pada harga RM1.04 hari ini, paras tertinggi sejak 2005 dengan 11.7 juta saham saling berpindah tangan.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung 18 sen kepada RM9.44; TNB melonjak 30 sen kepada RM11.08; CIMB meningkat 15 sen pada RM6.34; Petronas Chemicals meraih 13 sen kepada RM6.84 manakala Public Bank naik lima sen pada RM4.40.

Bagi saham aktif, Widad menambah satu sen kepada 13 sen; YNH Property menokok enam sen kepada 67.5 sen; TWL naik setengah sen kepada empat sen manakala MYEG meningkat 1.5 sen pada 81 sen dan Reneuco kekal pada 5.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas melonjak 128.99 mata lebih tinggi pada 11,374.01 manakala Indeks FBMT 100 menambah 125.28 mata kepada 11,029.79; Indeks FBM 70 naik 123.98 mata kepada 15,334.31; Indeks FBM Emas Syariah meraih 126.46 mata kepada 11,412.64 dan Indeks FBM ACE meningkat 11.31 mata kepada 4,833.52.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Hartanah naik 15.21 mata kepada 927.56; Indeks Perladangan menokok 84.47 mata kepada 7,276.63 dan Indeks Tenaga meningkat 3.44 mata kepada 891.40.

Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 267.29 mata kepada 17,148.26 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.07 mata kepada 174.46.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.57 bilion unit bernilai RM1.93 bilion daripada 1.08 bilion unit bernilai RM933.56 juta Jumaat lalu.

Selain itu, jumlah waran berkurangan kepada 205.28 juta unit bernilai RM27.91 juta daripada 448.53 juta unit bernilai RM71.83 juta pada Jumaat lalu.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangannya menokok kepada 332.83 juta saham bernilai RM85.91 juta daripada 325.18 juta saham bernilai RM88.91 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 231.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (372.47 juta); pembinaan (144.36 juta); teknologi (143.75 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (69.2 juta); hartanah (277.6 juta); perladangan (17.36 juta); REIT (20.60 juta), dana tertutup (16,100); tenaga (98.54 juta); penjagaan kesihatan (50.49 juta); telekomunikasi dan media (37.0 juta); pengangkutan dan logistik (27.6 juta) serta utiliti (78.21 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.910
FBMACE 5170.490
FBMEMAS 12085.270
FBMKLCI 1601.220
PBBANK 4.170
REDTONE 1.000
RENEUCO 0.115
YNHPROP 0.445

Comments

Login to comment.