Focus Point rancang buka 20 kedai baharu tahun ini

BeritaHarian Thu, Feb 08, 2024 03:32pm - 3 months View Original


KUALA LUMPUR: Focus Point Holdings Bhd merancang untuk membuka sehingga 20 kedai baharu, termasuk 10 kedai francais pada tahun kewangan 2024.

RHB Investment Bank dalam satu nota penyelidikan berkata, rancangan berkenaan akan menyokong ramalan pertumbuhan 12 peratus pendapatan dan 11 peratus keuntungan sebelum cukai yang dibuat oleh bank pelaburan itu.

Bank pelaburan itu berkata, Focus Point dipercayai akan mendapat manfaat daripada populasi rabun jauh semakin bertambah disebabkan oleh penguasaan pasaran dan rangkaian premis operasi meluas.

Ia berkata, pasaran produk cermin mata di Malaysia dijangka merekodkan purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) lima tahun yang pesat dari 2024 hingga 2028 mencecah 6.6 peratus disebabkan oleh gaya hidup pengguna yang banyak meluangkan masa melihat skrin sehingga membawa kepada masalah penglihatan, selain pertambahan populasi penduduk yang menghidapi presbiopia atau kesukaran membaca dari jarak biasa kerana populasi semakin menua.

"Maka, kami yakin peluang ini akan digarap sebaiknya oleh Focus Point memandangkan ia menerajui pasaran dengan mempunyai cawangan kedai yang meluas, iaitu sebanyak 189 cawangan setakat suku ketiga 2023.

"Malah, pelbagai jenis format kedai dilaksanakan supaya memenuhi segala kehendak pengguna yang merangkumi kumpulan pendapatan yang berbeza-beza.

"Dengan ini, kami menekankan bahawa perniagaan ini menunjukkan pertumbuhan berterusan dan keberuntungan semakin tinggi (margin bersih tahun kewangan 2022 sekitar 15 peratus berbanding purata syarikat pesaing 10 peratus)," katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Tai Yu Jie dan Soong Wei Siang.

Bank pelaburan itu berkata, selepas menanggung kerugian sebelum cukai RM1.2 juta pada sembilan bulan pertama 2023, ia yakin bahawa Focus Point akan mencatat pemulihan perolehan tidak lama lagi apabila lebihan pekerja berjaya diatasi sepenuhnya pada September 2023.

Katanya, setelah menceburi bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B) sejak 2012, pihak pengurusan menimba banyak pengalaman dan kepakaran berharga dalam mengurus kedua-dua operasi runcit F&B dan dapur pusat.

"Oleh itu, kami menanti-nantikan supaya ia meraih perolehan lebih stabil kelak. Antara perancangan diusahakan untuk segmen ini termasuk pelan pengembangan kedai roti Komugi (tiga hingga empat kedai disasarkan untuk tahun kewangan) dan usaha memperoleh lebih ramai pelanggan korporat untuk memenuhi kapasiti dapur pusat yang mempunyai kadar penggunaan semasa 70 peratus.

"Tambahan lagi, ia juga berhasrat untuk melancarkan satu jenama yogurt beku memandangkan terdapat permintaan yang berkembang dan pulangan keuntungan yang tinggi," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

FOCUSP 0.835

Comments

Login to comment.