UMW akan dikeluarkan dari Bursa Malaysia selepas 54 tahun

BeritaHarian Fri, Feb 02, 2024 03:53pm - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: Saham UMW Holdings Bhd yang mula disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1970 akan digantung dagangannya di Bursa Malaysia pada 9 Februari ini.

Selepas 54 tahun disenaraikan di pasaran saham tempatan, kumpulan yang terbabit dalam sektor automotif, pembuatan dan kejuruteraan peralatan itu dijangka dinyahsenarai selepas Sime Darby Bhd mengambil alih kepentingan dalam UMW Holdings.

UMW Holdings yang memiliki UMW Toyota Motor dan kepentingan dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) mula disenaraikan di pasaran saham tempatan yang dahulunya dikenali Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sebagai United Motor Works (Malaysia) Holdings Bhd.

Kumpulan yang turut memiliki perniagaan dalam peralatan berat, marin & kuasa serta pengeluar komponen untuk industri aeroangkasa itu dikuasai Sime Darby dengan pegangan 98.86 peratus dan akan berada di bawah portfolio berskala besar industri dan automotif.

Baru-baru ini, Sime Darby Enterprise Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung Sime Darby menyelesaikan pengambilalihan 61.18 peratus kepentingan dalam UMW Holdings pada harga RM3.57 bilion.

Susulan pengambilalihan itu, pegangan saham Sime Darby Enterprise dalam UMW Holdings meningkat daripada sifar kepada 714,813,100 saham, sekali gus menjadikan UMW Holdings sebagai anak syarikat tidak langsung Sime Darby.

Syarikat itu juga telah mencadangkan tawaran pengambilalihan mandatori untuk membeli semua baki saham UMW yang belum dimiliki oleh Sime Darby Enterprise dan Sime Darby selepas pengambilalihan.

Terdahulu, media melaporkan pengambilalihan Sime Darby ke atas kepentingan PNB dalam UMW Holdings dijangka menjadikan Sime Darby sebagai gergasi automotif baharu tempatan.

Mengikut terma perjanjian, Sime Darby akan membeli 61.2 peratus saham PNB dengan bayaran tunai keseluruhan sebanyak RM3.57 bilion atau RM5.00 setiap saham.

Urus niaga itu menjadikan Sime Darby sebagai pemain automotif dominan di Malaysia dengan lonjakan ketara penguasaan pasaran daripada hanya tiga peratus kepada 55 peratus.

Ia susulan penambahan dua jenama berprestasi tinggi ke dalam portfolio syarikat iaitu Toyota dan PERODUA yang berada di bawah UMW Holdings.

Sime Darby adalah konglomerat terkemuka dengan pelbagai portfolio perniagaan termasuk segmen automotif, peralatan, aeroangkasa, dan pembuatan serta kejuruteraan (M&E).

PNB, yang menguruskan lebih RM300 bilion aset, adalah pemegang saham terbesar dalam Sime Darby iaitu syarikat induk Sime Darby Motors dengan yang memiliki hampir 50 peratus kepentingan dan pengurus dana itu juga adalah pemegang saham utama dalam PERODUA.

PNB memegang 60.6 peratus saham UMW Holdings, yang seterusnya memiliki 38 peratus saham PERODUA, pembuat kereta terbesar negara dari penguasaan pasaran.

Pemegang saham lain dalam PERODUA termasuk Daihatsu, MBM Resources dan Mitsui & Co.

Setakat 30 September 2023, UMW Holdings meraih keuntyngan bersih RM611.1 juta, manakala pendapatan pula sebanyak RM13.7 bilion.

Permodalan pasarannya pada masa ini berjumlah RM5.74 bilion, dengan harga sahamnya didagangkan pada RM4.92 sesaham.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
MBMR 4.900
SIME 2.780
UMW 4.970

Comments

Login to comment.