Sunzen bayar RM24 juta beli 30 peratus saham dua anak syarikat

BeritaHarian Wed, Dec 20, 2023 09:43pm - 5 months View Original


KUALA LUMPUR: Sunzen Biotech Bhd memeterai dua perjanjian penjualan saham bersyarat untuk mengambil alih baki 30 peratus kepentingan dalam dua anak syarikatnya, Ecolite Biotech Manufacturing Sdn Bhd dan Yanming Resources Sdn Bhd masing-masing pada harga RM18 juta dan RM6 juta.

Syarikat itu memaklumkan kepada bursa saham ia telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan Koh Lee Fong, Lim Wee Chun, Fam Jian Yap dan G Five Holdings Ltd untuk pengambilalihan 2.25 juta saham biasa dalam Ecolite Biotech Manufacturing.

Pengambilalihan itu akan dibayar dengan wang tunai RM1.8 juta dan RM16.2 juta melalui terbitan 54.9 juta saham biasa baharu dalam Sunzen pada harga terbitan 29.5 sen.

Sunzen berkata, ia juga telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat dengan Lim Poh Chuw, Fam Jian Yap, Cai HeGui dan Chua Huai Gen untuk mengambil alih 150,000 saham biasa dalam Yanming Resources, yang akan dibayar tunai sebanyak RM600,000 dan RM5.4 juta melalui terbitan 18.3 juta saham biasa baharu dalam Sunzen, juga pada harga terbitan 29.5 sen.

"Setelah selesai pengambilalihan yang dicadangkan itu, Ecolite Biotech Manufacturing dan Yan Ming akan menjadi milik penuh Sunzen," kata Sunzen dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Sunzen berkata, pengambilalihan itu akan meningkatkan pendapatan dan menyumbang secara positif kepada syarikat.

"Tambahan pula, penerbitan saham (untuk) pertimbangan pembelian itu akan membolehkan Sunzen menjimatkan wang tunai yang boleh digunakan sebagai modal kerja dan membiayai operasi hariannya," katanya.

Sunzen menjangkakan permohonan kepada pihak berkuasa berkaitan pengambilalihan itu akan dikemukakan dalam tempoh dua bulan.

Lembaga pengarah menjangkakan pengambilalihan itu akan selesai pada separuh pertama 2024, katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.260
SUNZEN 0.360
SUNZEN-WC 0.145

Comments

Login to comment.