Indeks penanda aras pasaran saham hampir tidak berubah

BeritaHarian Fri, Dec 08, 2023 07:29pm - 5 months View Original


KUALA LUMPUR: Sentimen pasaran lemah menyaksikan indeks barometer Bursa Malaysia hampir tidak bergerak sepanjang hari ini berikutan ketidaktentuan global terus menyebabkan pelabur tidak memasuki pasaran sementara menunggu data pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang dijangka dikeluarkan pada Jumaat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 0.88 mata kepada 1,441.97 dengan peningkatan sederhana yang berterusan oleh Petronas Chemicals membantu mengekang penyusutan selanjutnya.

Indeks barometer dibuka meningkat 1.12 mata kepada 1,443.97 dan bergerak antara 1,441.09 dan 1,446.13 hari ini.

Lingkungan pasaran positif dengan 453 kaunter untung dan 377 kaunter rugi, manakala 488 kaunter tidak berubah, 1,019 tidak diniagakan dan 49 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan menguncup kepada 2.99 bilion unit bernilai RM1.99 bilion daripada 3.01 bilion unit bernilai RM1.98 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengeluaran laporan pekerjaan oleh kerajaan AS lewat hari ini, diikuti data Indeks Harga Pengguna (IHP) dan keputusan mesyuarat Rizab Persekutuan (Fed) AS minggu depan.

Selain itu, data serantau yang kurang memberangsangkan menyebabkan sentimen lemah di pasaran sedang pesat membangun yang sebahagian besarnya menunjukkan prestasi merosot.

Saham di Jepun ditutup rendah berikutan spekulasi bahawa Bank of Japan mungkin menamatkan dasar kadar faedah negatifnya.

Selain itu, data ekonomi terkini menunjukkan ekonomi Jepun menguncup sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2023, lebih rendah berbanding yang diunjurkan sebelum ini.

Sementara itu, saham di Hong Kong kekal pada paras terendah dalam tempoh 13 bulan berikutan ekonomi China yang suram.

"Pada masa sama, ketegangan yang meningkat berterusan di Timur Tengah, yang tidak menunjukkan isyarat untuk reda, telah menambah sentimen risiko dan memberi kesan buruk kepada pasaran ekuiti," katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Petronas Chemicals meningkat 11 sen kepada RM7.06 dan Maybank meningkat tiga sen kepada RM9.04.

Public Bank pula turun dua sen kepada RM4.24, CIMB Bank tidak berubah pada RM5.76 dan CelcomDigi menyusut tujuh sen kepada RM4.06.

Dalam kalangan saham aktif, YTL menokok 15 sen kepada RM1.69, Reneuco menguncup 2.5 sen kepada 23 sen, Asdion meningkat satu sen kepada 8.0 sen dan Widad turun setengah sen kepada 46.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 11.59 mata kepada 10,630.68, Indeks FBMT 100 menambah 9.16 mata kepada 10,300.30 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 2.86 mata kepada 10,730.92.

Indeks FBM 70 meraih 79.73 mata kepada 13,956.97 dan Indeks FBM ACE meningkat 41.69 mata kepada 5,106.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 1.80 mata kepada 16,333.94, Indeks Tenaga meningkat 8.11 mata kepada 796.23, Indeks Perladangan naik 2.58 mata kepada 6,956.99 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.297 mata kepada 1.297.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.68 bilion unit bernilai RM1.72 bilion berbanding 1.80 bilion unit bernilai RM1.72 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 619.82 juta unit bernilai RM72.09 juta daripada 648.96 juta unit bernilai RM66.25 juta sebelum ini.

Bagaimanapun jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 675.75 juta saham bernilai RM204.04 juta daripada 559.51 juta saham bernilai RM199.56 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 362.98 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (354.91 juta); pembinaan (121.87 juta); teknologi (144.95 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (47.23 juta); hartanah (188.84 juta); perladangan (30.92 juta); REIT (13.39 juta), dana tertutup (12,500); tenaga (121.23 juta); penjagaan kesihatan (65.37 juta); telekomunikasi dan media (20.80 juta); pengangkutan dan logistik (49.07 juta) dan utiliti (161.85 juta).

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ASDION 0.060
BURSA 7.990
CDB 4.070
FBMACE 5324.410
FBMEMAS 12137.130
FBMKLCI 1605.880
PBBANK 4.170
RENEUCO 0.125
RENEUCO-WA 0.060

Comments

Login to comment.