Pecca sasar perluas kehadiran ke lima pasaran global

BeritaHarian Sun, Nov 19, 2023 02:14pm - 5 months View Original


KUALA LUMPUR: Pengeluar upholsteri automotif, Pecca Group Bhd (Pecca) bercadang memperluaskan kehadirannya dengan menembusi pasaran baharu di Amerika Syarikat (AS), Australia, New Zealand, Singapura, dan Eropah.

Ketua Pegawai Eksekutif Pecca, Foo Ken Nee, berkata tahun ini, pihaknya telah bertemu dengan pelanggan segmen pengeluar alat ganti (REM) sedia ada dan berpotensi dari seluruh dunia.

Beliau berkata, pihaknya juga mengambil bahagian dalam Pameran SEMA, salah satu pameran automotif terbesar di AS.

"Pada tahun kewangan 2024, kami akan meneruskan usaha kami untuk mempelbagaikan pasaran baharu dan mengubah kumpulan menjadi ekosistem pertumbuhan berbilang pemacu.

"Kedudukan tunai kami yang kukuh, peningkatan kepada RM112.60 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024, akan memberi kami kuasa untuk memangkin pertumbuhan kami," katanya.

Pecca mencatatkan rekod keuntungan bersih suku tahunan sebanyak RM13.01 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024, berbanding RM8.35 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Pendapatannya meningkat 17 peratus kepada RM64.05 juta berbanding RM54.86 juta tahun lalu.

Pada suku pertama tahun kewangan 2024 itu, pendapatan kumpulan didorong oleh permintaan untuk upholsteri kulit dan jahitan sarung kerusi fabrik kereta.

Subsegmen itu menyumbang kira-kira 90 peratus dan 5.0 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan kumpulan.

Mengulas prestasi kewangan suku pertama itu, Ken Nee berkata, pihaknya sangat berbesar hati untuk memulakan tahun kewangan 2024 dengan satu lagi keputusan kewangan yang kukuh dan ia adalah suku kelima berturut-turut kumpulan telah mencatatkan rekod keuntungan bersih yang baharu.

Beliau berkata, komitmen syarikat itu kekal untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang mampan.

"Ketika kami sibuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk upholsteri automotif berkualiti tinggi, tumpuan kami pada kecekapan operasi telah membolehkan kami meraih ganjaran daripada skala ekonomi.

"Kami tetap berdedikasi untuk mengekalkan trajektori positif ini dan menambah nilai kepada pemegang kepentingan kami," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

PECCA 1.310

Comments

Login to comment.