Puncak Niaga tarik balik saman RM14 bilion ke atas kerajaan Selangor

BeritaHarian Mon, Sep 25, 2023 05:34pm - 8 months View Original


KUALA LUMPUR: Puncak Niaga Holdings Bhd menarik balik saman RM14 bilion terhadap kerajaan Selangor berhubung dakwaan pengambilalihan paksa industri air negeri itu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mengumumkan bahawa bahawa peguam cara syarikat memfailkan Notis Penamatan tuntutan Puncak Niaga di Mahkamah Tinggi Shah Alam tanpa perintah mengenai kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula.

Justeru, katanya, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah membatalkan kes itu.

Jelasnya, pemberhentian tuntutan Puncak Niaga dibuat selepas pertimbangan yang teliti terhadap tuntutan Puncak Niaga dimulakan pada Oktober 2017 iaitu enam tahun lalu dan masih belum dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Pemberhentian tuntutan akan membolehkan Puncak Niaga mengurangkan pengeluaran lebih banyak sumber dan kos lanjut untuk meneruskan perkara itu di mahkamah.

"Berikutan perubahan yang berkembang dalam persekitaran perniagaan mencabar yang mengawal selia Puncak Niaga dan Puncak Group of Companies di mana operasi syarikat/kumpulan sepenuhnya di Malaysia, pemberhentian tuntutan Puncak Niaga akan membolehkan Puncak Niaga menumpukan perhatian kepada usaha mencapai objektif dan strategi perniagaannya ke arah pertumbuhan mampan jangka panjang Puncak Group of Companies," katanya.

Asalnya, Puncak Niaga mengemukakan saman terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan Selangor dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai defendan.

Pada 22 Februari 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan tiga defendan itu untuk membatalkan saman berkenaan, yang menyebabkan Puncak Niaga mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Pada Februari 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan tuntutan terhadap Abdul Khalid dan kerajaan Selangor.

Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan Puncak Niaga berhubung keputusan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuntutannya terhadap Mohamed Azmin.

Dalam saman yang difailkan pada 2017 itu, Puncak Niaga mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengugut sehingga menyebabkan kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos akibat kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.530
PUNCAK 0.370

Comments

Login to comment.