Bursa Malaysia menjunam 15.53 mata

BeritaHarian Thu, Aug 17, 2023 06:31pm - 9 months View Original


KUALA LUMPUR: Pengambilan untung yang berterusan di kaunter perladangan dan perkhidmatan kewangan terpilih menyebabkan Bursa Malaysia ditutup pada paras terendah harian pada Khamis, susulan sentimen bercampur-campur di pasaran saham serantau.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.53 mata kepada 1,447.98 daripada 1,463.51 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks barometer itu dibuka 2.90 mata lebih rendah kepada 1,460.61 sebelum bergerak setinggi 1,460.76 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 607 berbanding 355 manakala 429 kaunter tidak berubah, 949 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.34 bilion unit bernilai RM2.56 bilion daripada 3.62 bilion unit bernilai RM2.21 bilion pada Rabu.

Sime Darby Plantation dan CIMB adalah dua penyumbang utama kepada aliran turun indeks penanda aras tempatan apabila masing-masing susut 14 sen dan 9.0 sen kepada RM4.31 dan RM5.64, dengan gabungan sumbangan 3.77 mata.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI berakhir lebih rendah ekoran kegiatan pengambilan untung selepas mengalami kenaikan berterusan yang kukuh baru-baru ini.

"Indeks-indeks serantau utama juga ditutup rendah berikutan petunjuk negatif dari pasaran global dalam tempoh semalaman selepas minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) dikeluarkan, dengan pelabur bimbang mengenai kemungkinan Amerika Syarikat menaikkan kadar faedah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagi peringkat tempatan, penjualan hari ini adalah satu pembetulan yang baik dan akan menyediakan peluang belian kepada pelabur memandangkan penilaian yang lebih murah di Bursa Malaysia berbanding pasaran serantau lain.

"Walaupun keadaan pasaran global berhati-hati, kami berpandangan pembelian akan muncul semula disebabkan sokongan kukuh daripada dana asing. Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI mencatatkan aliran dalam lingkungan 1,445 hingga 1,455 sehingga akhir dagangan minggu ini.

"Dari sudut pandang teknikal, kami menetapkan paras rintangan serta-merta pada 1,465 manakala sokongan pada 1,440," katanya.

Antara saham wajaran tinggi lain, Maybank dan Petronas Chemicals masing-masing susut 6.0 sen kepada RM8.97 dan RM6.79; Public Bank turun 3.0 sen kepada RM4.16; Tenaga Nasional kurang 4.0 sen kepada RM9.95 manakala IHH Healthcare menguncup 5.0 sen kepada RM5.95.

Antara saham aktif, Hong Seng naik setengah sen kepada 6.5 sen, Aimflex menokok 1.5 sen kepada 22 sen, UEM Sunrise meningkat 2.0 sen kepada 63 sen manakala Awanbiru merosot 22.5 sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 90.29 mata kepada 10,679.57; Indeks FBMT 100 kurang 88.05 mata kepada 10,364.66; Indeks FBM Emas Syariah turun 89.53 mata kepada 10,877.42; Indeks FBM 70 menguncup 22.20 mata kepada 14,138.25 dan Indeks FBM ACE susut 64.20 mata kepada 5,313.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 122.48 mata kepada 16,293.46; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.77 mata kepada 167.67; Indeks Perladangan susut 113.60 mata kepada 6,920.60 manakala Indeks Tenaga turun 15.40 mata kepada 814.87.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 3.18 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM1.92 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 398.44 juta unit bernilai RM60.76 juta daripada 349.78 juta unit bernilai RM55.04 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 753.73 juta saham bernilai RM227.91 juta berbanding dengan 822.04 juta saham bernilai RM238.89 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 425.14 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama; produk dan perkhidmatan perindustrian (396.43 juta); pembinaan (197.85 juta); teknologi (850.52 juta); SPAC (tiada); perkhidmatan kewangan (79.70 juta); hartanah (674.57 juta); perladangan (42.82 juta); REIT (13.88 juta); dana tertutup (75,800); tenaga (270.47 juta); penjagaan kesihatan (67.14 juta); telekomunikasi dan media (32.31 juta); pengangkutan dan logistik (70.98 juta); serta utiliti (55.72 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIMFLEX 0.170
BURSA 8.200
FBMACE 5351.220
FBMEMAS 12308.180
FBMKLCI 1616.620
IHH 6.270
PBBANK 4.190
SIMEPLT 4.470
TENAGA 12.600
UEMS 1.230

Comments

Login to comment.