Cnergenz cadang berpindah ke Pasaran Utama

BeritaHarian Fri, Aug 11, 2023 08:57pm - 9 months View Original


KUALA LUMPUR: Cnergenz Bhd bercadang untuk memindahkan penyenaraian dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama, Bursa Malaysia Securities Bhd.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Jumaat, UOB Kay Hian Securities (UOBKH) yang mengumumkan cadangan itu menjelaskan langkah itu akan menunjukkan pertumbuhan, keberuntungan dan kekukuhan kewangan Cnergenz memandangkan ia telah memenuhi keperluan rekod prestasi keuntungan untuk pemindahan ke Pasaran Utama.

UOBKH telah dilantik sebagai penasihat utama Cnergenz bagi cadangan itu.

Setakat 4 Ogos 2023, sebagai tarikh boleh laksana terkini sebelum tarikh pengumuman ini, modal saham terbitan syarikat jentera dan peralatan perindustrian itu adalah berjumlah RM122,474,910 meliputi 498 juta saham biasa.

Menurut kenyataan itu, setakat 4 Ogos 2023, permodalan pasaran Cnergenz adalah kira-kira RM371.01 juta (meningkat ketara daripada permodalan pasaran penyenaraiannya kira-kira RM288.84 juta pada 2022), menunjukkan prospek semasa, saiz dan skala operasi yang semakin berkembang, serta keyakinan dan kepercayaan pihak berkepentingan terhadap Cnergenz.

Tambahan pula, Cnergenz telah mencatatkan keuntungan disatukan selepas cukai (PAT) teraudit kira-kira RM21.72 juta untuk tahun kewangan terkini berakhir 31 Disember 2022 selain keuntungan disatukan selepas cukai agregat kira-kira RM50.85 juta bagi tiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, 2021 dan 2022 yang telah diaudit.

Cnergenz dan anak-anak syarikatnya juga dianggap telah memenuhi keperluan untuk cadangan pemindahan itu seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Ekuiti yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Securities, tambah kenyataan itu.

"Lembaga pengarah yakin cadangan pemindahan itu akan meningkatkan kredibiliti dan reputasi syarikat, lebih mencerminkan asas pegangan saham institusi sedia ada dan pada masa sama membolehkan Cnergenz lebih dikenal pasti dan mempunyai lebih daya tarikan dalam kalangan pelabur," jelas kenyataan itu.

Tanpa mengambil kira sebarang situasi luar jangka dan tertakluk kepada semua kelulusan yang perlu diperoleh, cadangan pemindahan itu dijangka selesai pada suku pertama 2024.

Cnergenz mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 24 Mei 2022.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.260
CNERGEN 0.700

Comments

Login to comment.