Bursa Malaysia jejaki aliran menaik Wall Street

BeritaHarian Fri, Apr 28, 2023 11:26am - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meningkat sedikit ketika memulakan dagangan pada pagi urus niaga Jumaat ini, mengambil petunjuk daripada trend menaik semalaman Wall Street, kata seorang penganalisis.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bertambah 0.15 mata kepada 1,418.20 daripada penutupan Khamis pada 1,418.05.

Indeks barometer utama dibuka pada paras 1,418.24, naik 0.19 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan juga positif menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 155 berbalas 116, manakala 207 kaunter tidak berubah, 1,801 tidak diniagakan dan 50 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 134.73 juta unit bernilai RM55.79 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata walaupun pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS lebih rendah daripada jangkaan untuk suku pertama 2023 yang menunjukkan kemelesetan semakin hampir, ekuiti AS telah melonjak, disokong oleh pendapatan korporat yang kukuh.

Purata Dow Jones Industrial (DJI) meningkat sebanyak 524 mata, manakala Nasdaq menambah 288 mata.

"Di dalam negara, FBM KLCI dijangka bergerak dalam aliran yang lebih tinggi hari ini dan berlegar dalam julat 1,420-1,430 dengan minat kembali kepada sektor teknologi selepas mempamerkan trend menurun selama tujuh hari.

"Bagaimanapun, saham perladangan mungkin berhadapan masalah berikutan harga minyak sawit mentah yang semakin lemah, merosot kepada bawah RM3,500 satu tan," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Bursa Malaysia - Maybank susut satu sen kepada RM8.69, CelcomDigi turun dua sen menjadi RM4.38, manakala Public Bank dan CIMB naik satu sen masing-masing pada RM3.90 dan RM5.08 dan Petronas Chemicals menokok tiga sen kepada RM7.07.

Bagi saham aktif, Bintai Kinden turun setengah sen menjadi tiga sen, Jade Marvel tidak berubah pada 28 sen, manakala Computer Forms meningkat satu sen kepada 29 sen, Aimflex naik setengah sen kepada 19 sen dan SMRT menambah dua sen untuk mencatatkan harga 70.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 1.19 mata kepada 10,410.63, Indeks FBMT 100 kerugian 1.38 mata kepada 10,093.35 dan Indeks FBM Emas Syariah lebih rendah 4.33 mata kepada 10,744.65.

Indeks FBM ACE mengukuh 14.56 mata pada 5,366.96, manakala indeks FBM 70 turun 11.92 mata kepada 13,528.31.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.15 mata kepada 171.01, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 0.16 mata kepada 15,559.87, Indeks Tenaga susut 1.66 mata kepada 845.68 dan Indeks Perladangan menguncup 14.95 mata pada 6,840.72. – BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AIMFLEX 0.170
BURSA 8.200
CDB 4.060
CFM-WA 0.015
FBMKLCI 1616.620
PBBANK 4.190

Comments

Login to comment.