Farm Fresh komited bekal susu kepada 3,560 sekolah

HarianMetro Thu, Sep 29, 2022 06:20am - 1 year View Original


FARM Fresh Bhd (Farm Fresh) membekalkan susu untuk tiga zon di Semenanjung membabitkan 3,560 sekolah di sembilan negeri bagi Program Susu Sekolah (PSS) Kementerian Pedidikan (KPM) bermula April lalu hingga Mac tahun hadapan.

Pembekalan susu Farm Fresh UHT 200 mililiter (ml) tanpa perisa penuh krim dengan jenama Yarra memberi manfaat kepada 394,000 murid dengan 75 juta kotak susu sepanjang program di Zon 3 iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Zon 4 (Perlis, Kedah, Pulau Pinang) dan Zon 6 (Negeri Sembilan, Melaka, Johor).

Farm Fresh dalam kenyataan, memaklumkan dalam kontrak perbekalan susu sekolah KPM menyatakan obligasi syarikat supaya melaksanakan aktiviti pendidikan untuk menggalakkan pengambilan susu tanpa perisa penuh krim dalam kalangan kanak-kanak seperti kempen gaya hidup sihat dan sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia.

"Selain itu, inisiatif kempen amalan 'persekitaran hijau' perlu dilaksana syarikat. Ia satu usaha bersama pihak swasta dan kerajaan bagi memberikan manfaat kesihatan kepada murid.

"Farm Fresh menyahut seruan itu dengan melaksana pelbagai program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) sempena PSS antaranya Siri Jelajah Generasi Farm Fresh untuk 20 sekolah dengan menyampaikan input positif melalui pendidikan kebaikan minum susu, pemberian susu dan majalah Kuntum secara percuma serta amalan Kitar semula Tetra Pak," katanya.

PSS dilaksana serentak dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) sejak 1983.

Pembekalan susu sekolah membabitkan hampir keseluruhan sekolah rendah di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Pada 2022, bantuan difokuskan dan diberi kepada murid daripada keluarga miskin tegar mengikut Pendapatan Garis Kemiskinan Makanan 2019 dengan pendapatan isi rumah di bawah RM1,169 atau perkapita RM310, murid pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) dan murid di sekolah Orang Asli/Penan.

Bagi kalendar akademik persekolahan 2022/2023, program ditambah baik daripada segi pengoperasiannya dengan membekalkan susu setiap hari persekolahan dan susu dibekalkan adalah susu UHT tanpa perisa penuh krim menggantikan susu berperisa coklat.

Mengulas lanjut, Farm Fresh menerusi inisiatif program CSRnya dengan Siri Jelajah Farm Fresh yang dilaksanakan bersama-sama murid selama dua jam.

Antara pengisian program adalah aktiviti permainan dalam bentuk pendidikan selain murid turut menikmati susu percuma versi susu Farm Fresh Warner yang terbaharu.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

FFB 1.410

Comments

Login to comment.