Bursa Malaysia dibuka tinggi ambil petunjuk di Wall Street

BeritaHarian Fri, May 03, 2024 10:27am - 2 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, mengambil petunjuk daripada prestasi positif di Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.25 mata kepada 1,584.55 daripada 1,580.30 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.29 mata lebih tinggi kepada 1,581.59.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 214 berbanding 136, manakala 274 kaunter tidak berubah, 1,674 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 188.77 juta unit bernilai RM75.60 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata Wall Street ditutup tinggi apabila Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), Jerome Powell menyatakan kemungkinan kenaikan kadar faedah adalah rendah, sekali gus memberikan kelegaan kepada pelabur.

Bank pusat AS telah memaklumkan strateginya untuk memperlahankan kadar pengeluaran lembaran imbangannya bermula 1 Jun, bertujuan mengelakkan sebarang tekanan berlebihan terhadap pasaran kewangan.

Perkara itu mendorong Dow Jones ditutup 0.85 peratus lebih tinggi manakala bursa bertumpuan teknologi Nasdaq melonjak 1.51 peratus pada penutupan, katanya.

Pak Leng berkata, di peringkat domestik, FBM KLCI ditutup tinggi semalam apabila pelabur memanfaatkan peluang membeli saham murah yang mempunyai prospek positif susulan penjualan besar pada Selasa.

"Kami percaya prospek ekuiti tempatan kekal positif, disokong aliran masuk berterusan dana asing ke rantau ini. Justeru, kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran berjulat 1,580 hingga 1,590 untuk hari ini," katanya kepada Bernama.

Antara kaunter wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.79, Public Bank naik tiga sen kepada RM4.13, CIMB menokok empat sen kepada RM6.68 manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM12.02 dan RM6.33.

Bagi saham aktif, Epicon meningkat satu sen kepada 48 sen, Pasukhas menambah empat sen kepada 18 sen, Sarawak Cable menokok 2.5 sen kepada 17.5 sen manakala Ingenieur Gudang dan TWL Holdings masing-masing tidak berubah pada 13 sen dan tiga sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 29.62 mata kepada 11,925.71; Indeks FBMT 100 meningkat 27.61 mata kepada 11,552.44; Indeks FBM 70 menokok 26.09 mata kepada 16,640.28; Indeks FBM ACE naik 8.21 mata kepada 5,115.89 dan Indeks FBM Emas Syariah menambah 14.01 mata kepada 12,127.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 57.87 mata kepada 17,301.13; Indeks Tenaga meningkat 3.25 mata kepada 967.19 namun, Indeks Perladangan susut 17.27 mata kepada 7,437.92 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.02 mata kepada 190.01.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.200
EPICON 0.445
FBMACE 5351.220
FBMEMAS 12308.180
FBMKLCI 1616.620
IHH 6.270
INGENIEU 0.095
PBBANK 4.190
SCABLE 0.160
TENAGA 12.600
TWL 0.025
TWL-LA 0.020
TWL-WD 0.005
TWL-WE 0.010

Comments

Login to comment.