Bursa Malaysia jatuh 13.21 mata berikutan aktiviti ambil untung

BeritaHarian Wed, Feb 28, 2024 07:19pm - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengakhiri dagangan Rabu dengan lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung susulan peningkatan semalam, serta seiring dengan prestasi penurunan pasaran serantau.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 13.21 mata kepada 1,545.59 berbanding paras semalam pada 1,558.80.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.50 mata kepada 1,556.30 dan mencecah paras tertinggi harian 1,556.69 pada awal dagangan.

Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 780 berbanding 311 manakala 404 lain tidak berubah, 814 tidak diniagakan dan 77 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan melonjak kepada 4.78 bilion unit bernilai RM3.30 bilion daripada 3.88 bilion unit bernilai RM3.09 bilion yang dicatat semalam.

Mengulas prestasi pasaran tempatan, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata saham berada dalam julat kecil berikutan kebimbangan berterusan mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi.

"(Sehubungan itu), kami menganggap aktiviti pengambilan untung ini sebagai satu pembetulan yang sihat kerana membolehkan pasaran menerima reaksi daripada peningkatan ketara baru-baru ini selain menyediakan asas lebih kukuh bagi kenaikan lebih mampan.

"Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam julat antara 1,540 hingga 1,570 bagi sesi dagangan yang berbaki minggu ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan dan Nasihat Kekayaan serta Pengurus Portfolio UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, berkata Bursa Malaysia mencatat penurunan lebih sederhana hari ini dan dilihat menunggu pemangkin domestik baharu bagi melonjakkan ekuiti.

"Penurunan itu juga seiring dengan pasaran serantau dan membuktikan pendirian pelabur yang kekal berhati-hati menjelang pengumuman petunjuk ekonomi utama AS pada akhir minggu ini, termasuk data inflasi yang sememangnya penting.

"Hasil data ini mempunyai implikasi besar terhadap jangkaan mengenai kadar faedah utama AS ketika pegawai bank pusatnya, Rizab Persekutuan AS (Fed) menekankan kepentingan petunjuk penurunan inflasi sebelum melakukan pelarasan kadar berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, saham-saham wajaran tinggi seperti Public Bank rugi empat sen kepada RM4.43; CIMB turun dua sen pada RM6.43; Tenaga Nasional susut 46 sen kepada RM10.96; Petronas Chemicals berkurangan sembilan sen kepada RM6.85 manakala Maybank kekal pada RM9.51.

Bagi saham aktif, Velesto Energy untung 1.5 sen kepada 28 sen; Fitters Diversified naik setengah sen kepada lima sen; Hong Seng Consolidated turun setengah sen kepada 1.5 sen; Bumi Armada berkurangan 6.5 sen kepada 52 sen manakala TWL Holdings tidak berubah pada 3.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas turun 91.00 mata kepada 11,463.63; Indeks FBMT 100 menguncup 84.25 mata kepada 11,125.34; Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 98.13 mata kepada 11,482.96; Indeks FBM 70 merosot 72.17 mata kepada 15,438.63 dan Indeks FBM ACE kehilangan 39.71 mata pada 4,765.24.

Prestasi sektor pula membabitkan Indeks Perkhidmatan Kewangan yang susut 42.52 mata kepada 17,299.63; Indeks Perladangan turun 27.34 mata kepada 7,155.72; Indeks Utiliti berkurangan 41.51 mata kepada 1,566.51; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kehilangan 1.85 mata kepada 175.94 manakala Indeks Tenaga merosot 6.84 mata kepada 924.64.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama bagaimanapun memeningkat kepada 3.47 bilion unit bernilai RM3.07 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.78 bilion, semalam.

Selain itu, jumlah waran meningkat kepada 752.89 juta unit bernilai RM103.81 juta daripada 743.51 juta unit bernilai RM119.68 juta.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan susut kepada 533.73 juta saham bernilai RM126.84 juta daripada 669.73 juta saham bernilai RM187.75 juta, sebelum ini.

Dalam pada itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sejumlah 488.96 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (598.08 juta); pembinaan (105.40 juta); teknologi (667.37 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (152.68 juta); hartanah (313.99 juta); perladangan (43.06 juta); REIT (23.43 juta), dana tertutup (141,700); tenaga (748.66 juta); penjagaan kesihatan (51.15 juta); telekomunikasi dan media (87.66 juta); pengangkutan dan logistik (31.08 juta) serta utiliti (158.50 juta).

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

ARMADA 0.570
BURSA 7.990
FBMACE 5324.410
FBMEMAS 12137.130
FBMKLCI 1605.880
FBMSHA 12332.340
FITTERS 0.050
FITTERS-WC 0.005
HONGSENG 0.010
HONGSENG-PA 1.740
HONGSENG-WA 1.180
HONGSENG-WB 0.005
PBBANK 4.170
TENAGA 12.440
TWL 0.025
TWL-LA 0.015
TWL-WD 0.005
TWL-WE 0.010
VELESTO 0.285

Comments

Login to comment.