Bursa Malaysia ditutup rendah

BeritaHarian Tue, Sep 12, 2023 08:05pm - 7 months View Original


KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini dalam keadaan sentimen pasaran serantau yang bercampur-campur berikutan pelabur menantikan data inflasi Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 1.65 mata kepada 1,453.39 daripada 1,455.04 sewaktu ditutup pada Isnin.

Selepas dibuka rendah 0.75 mata kepada 1,454.29, indeks barometer bergerak antara 1,447.96 dan 1,454.32 sepanjang sesi.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 524 berbanding 354, dengan 450 kaunter tidak berubah dan 994 tidak diniagakan.

Bagaimanapun, jumlah dagangan meningkat kepada 2.88 bilion unit bernilai RM1.99 bilion berbanding 2.80 bilion unit bernilai RM1.64 bilion semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata indeks serantau utama ditutup bercampur-campur menjelang data indeks harga pengguna AS yang boleh mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menaikkan lagi kadar faedah.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen dilaporkan berkata beliau 'amat berpuas hati' dengan peluang untuk AS mengelakkan kemelesetan ketika masih mengawal kenaikan harga pengguna, sebagai faktor utama yang dipertimbangkan Fed.

Thong berkata, harga pengguna China kembali kepada angka positif pada Ogos, menunjukkan kemungkinan pengurangan tekanan inflasi di tengah-tengah kestabilan ekonomi yang semakin meningkat.

"Bagi bursa tempatan, pelabur dinasihatkan untuk berwaspada akibat ketidaktentuan global yang semakin bertambah.

"Pada masa ini, penilaian indeks petunjuk pasaran adalah rendah. Oleh itu, kami percaya aktiviti belian semasa harga rendah mungkin berlaku," katanya kepada Bernama.

Tanpa mengambil kira sebarang perkara luar jangka, Thong menjangkakan FBM KLCI berada dalam jajaran 1,445 hingga 1,465 pada minggu ini dengan paras rintangan segera pada 1,465 dan paras sokongan pada 1,440.

Kaunter saham wajaran tinggi Bursa seperti Maybank merosot dua sen kepada RM9.14, Petronas Chemicals berkurangan 23 sen kepada RM7.00 dan Tenaga Nasional menguncup lima sen kepada RM9.84, manakala Public Bank dan Ambank masing-masing tidak berubah pada RM4.24 dan RM3.68.

Bagi saham aktif, Ekovest meraih satu sen kepada 53 sen, IFCA MSC menambah dua sen kepada 33 sen, UEM Sunrise berkurangan dua sen kepada 68.5 sen dan YTL Corp menyusut lima sen kepada RM1.43.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 rendah 22.27 mata kepada 10,380.37, Indeks FBM 70 menyusut 74.60 mata kepada 14,062.15, Indeks FBM Emas susut 23.73 mata kepada 10,700.10 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 23.16 mata kepada 10,860.97.

Sementara itu, Indeks FBM ACE meningkat 4.88 mata kepada 5,165.95.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 5.70 mata kepada 16,436.92 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 1.95 mata kepada 170.73.

Indeks Tenaga pula menokok 4.33 mata kepada 855.70 dan Indeks Perladangan naik 26.34 mata kepada 6,884.28.

- Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.450
EKOVEST 0.445
FBMACE 5092.010
FBMEMAS 11901.020
FBMKLCI 1582.660
IFCAMSC 0.410
PBBANK 4.180
TENAGA 11.920
UEMS 1.090
YTL 3.200

Comments

Login to comment.