Bursa Malaysia ditutup tinggi sedikit

BeritaHarian Fri, May 05, 2023 07:19pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: Minggu dagangan yang pendek berikutan cuti umum telah menyebabkan ekuiti Malaysia secara keseluruhannya ditutup rendah pada Jumaat dengan jualan terutamanya di kaunter teknologi serta produk perindustrian dan perkhidmatan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) bagaimanapun ditutup tinggi 0.35 peratus atau 5.05 mata kepada 1,431.04 daripada 1,425.99 pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.38 mata kepada 1,423.61 dan bergerak antara 1,421.78 dan 1,431.15 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 487 berbanding 332 manakala 411 kaunter tidak berubah, 1,001 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.57 bilion unit bernilai RM1.42 bilion daripada 3.48 bilion unit bernilai RM1.57 bilion pada Rabu.

Pasaran ditutup pada Khamis sempena Hari Wesak.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI yang lebih tinggi berikutan minat belian dalam saham wajaran tinggi terpilih.

Ia termasuk Public Bank yang meningkat 2.55 peratus atau 10 sen kepada RM4.01, diikuti Petronas Dagangan yang menambah 44 sen kepada RM22.80 dan Maxis naik tujuh sen kepada RM4.59.

Beliau berkata indeks serantau utama diniagakan kebanyakannya rendah berikutan petunjuk negatif daripada Wall Street semalaman susulan kebimbangan mengenai sektor perbankan Amerika Syarikat (AS), yang berada di bawah tekanan daripada kenaikan kadar faedah.

Daripada saham wajaran tinggi lain, Maybank naik tiga sen kepada RM8.75, Petronas Chemicals merosot 18 sen kepada RM7.06, CIMB meningkat enam sen kepada RM5.13, CelcomDigi berkurangan empat sen kepada RM4.40, Tenaga tidak berubah pada RM8.98 dan IHH Healthcare naik enam sen kepada RM5.86.

Dalam kalangan kebanyakan saham aktif, Jade Marvel, Revenue Group, Vinvest dan Hong Seng, masing-masing berkurangan satu sen kepada 27 sen, 34 sen, 20 sen dan 12 sen manakala Bahvest meningkat dua sen kepada 23.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 10.13 mata kepada 10,458.25, Indeks FBMT 100 meningkat 13.71 mata kepada 10,153.83, bagaimanapun Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 27.75 mata kepada 10,758.73.

Indeks FBM ACE merosot 0.30 mata kepada 5,213.00 dan Indeks FBM 70 susut 73.58 mata kepada 13,481.53.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.96 mata kepada 169.49, Indeks Tenaga susut 5.24 mata kepada 828.24, bagaimanapun Indeks Perladangan naik 7.18 mata kepada 6,833.79 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 119.94 mata kepada 15,708.73.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 1.72 bilion unit bernilai RM1.15 bilion daripada 2.44 bilion unit bernilai RM1.39 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 314.75 juta unit bernilai RM66.16 juta daripada 290.19 juta unit bernilai RM48.60 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 534.18 juta saham bernilai RM203.19 juta daripada 741.52 juta saham bernilai RM216.13 juta pada Rabu.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 228.43 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (513.78 juta); pembinaan (97.03 juta); teknologi (303.18 juta); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (72.86 juta); hartanah (153.49 juta); perladangan (19.55 juta); REIT (4.93 juta), dana tertutup (42,100); tenaga (166.29 juta); penjagaan kesihatan (50.53 juta); telekomunikasi dan media (55.31 juta); pengangkutan dan logistik (29.63 juta) dan utiliti (21.65 juta).

Sementara itu, Bursa Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan pemindahan sekuriti SDS Group Bhd daripada Pasaran ACE kepada Pasaran Utama di bawah sektor Produk dan Perkhidmatan Pengguna mulai Isnin 8 Mei 2023 pada 9.00 pagi.

Nama pendek saham dan nombor saham untuk syarikat tersebut kekal tidak berubah, iaitu SDS dan 0212 berikutan pemindahan itu.

– Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.900
CDB 4.110
FBMKLCI 1600.670
IHH 6.320
MAXIS 3.600
PBBANK 4.180
PETDAG 21.460
REVENUE 0.215
SDS 0.880

Comments

Login to comment.