Supermax catat keuntungan luar biasa

BeritaHarian Thu, Aug 26, 2021 08:50pm - 3 years View Original


KUALA LUMPUR: Pengeluar sarung tangan getah, Supermax Corporation Bhd (Supermax) sekali lagi mencatat prestasi kewangan kukuh apabila keuntungan bersihnya mencecah RM958.71 juta dan pendapatan RM1.88 bilion bagi tempoh suku keempat berakhir 30 Jun 2021.

Sebagai perbandingan, prestasi suku sama pada 2020 menyaksikan keuntungan bersih dan hasil syarikat itu masing-masing pada RM398.83 juta dan RM929.12 juta, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Lembaga Pengarah Supermax telah mengisytiharkan dividen khas satu peringkat sebanyak 15 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 dengan tarikh kelayakan serta pembayaran dividen itu ditetapkan pada 10 September 2021 dan 30 September 2021.

Supermax menyifatkan prestasi kewangan itu didorong terutama oleh permintaan sarung tangan getah dan kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang terus kukuh di peringkat global berikutan penularan pandemik COVID-19.

Permintaan terhadap produk sarung tangan serta PPE berkenaan juga kekal memberangsangkan ketika dunia terus menangani pandemik yang terus berlanjutan itu.

"Gelombang baharu jangkitan COVID-19 terus menular di negara-negara serata dunia walaupun dalam keadaan semakin banyak negara mula membuka semula sektor ekonomi dan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP).

"Sejak bermulanya pandemik ini, kami telah dan terus menyaksikan kemunculan pengguna dan penggunaan baharu yang tidak pernah dilihat sebelum berlakunya COVID-19," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan usaha pemberian suntikan vaksin yang ketara di negara-negara turut dijangka menjejaskan permintaan sarung tangan manakala penggunaannya akan lebih menyederhana.

Bagaimanapun, Supermax percaya bahawa penyederhanaan itu lebih bersifat beransur-ansur dan bukannya susut secara mendadak akibat perubahan struktur atau asas penggunaan seperti aspek kesedaran penjagaan kesihatan dan kebersihan diri yang meningkat.

Menurutnya, lebih ramai penggiat baharu sarung tangan juga dijangka menyertai pasaran susulan jangkaan berlakunya lonjakan permintaan berkaitan.

Selain itu, syarikat-syarikat pengeluar sarung tangan sedia ada pula dijangka meneruskan usaha meningkatkan kapasiti pada skala lebih besar, terutama kalangan syarikat-syarikat awam tersenarai yang berpangkalan di China, Malaysia dan Thailand.

"Apabila lebih banyak kapasiti ditawarkan di pasaran, ini akan menyebabkan harga sarung tangan global mulai susut.

"Jika dilihat, harga juga telah susut dengan ketara. Pada masa ini, harga semasa pasaran adalah jauh lebih rendah berbanding dengan harga yang dipersetujui (kontrak)," katanya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.850

Comments

ck sang
Like · Reply
untung semakin kurang. luar biasa

Login to comment.