Proton e.MAS 5 kini ditawarkan di Singapura, harga pelancaran lebih RM500,000

HarianMetro Thu, Jul 09, 2026 03:16pm - 20 hours View Original


Proton e.MAS 5 mula ditawarkan untuk pasaran Singapura.

Kuala Lumpur: Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON) terus memperkukuh profil perniagaan kenderaan elektrik (EV) miliknya di peringkat antarabangsa menerusi pelancaran rasmi model Proton e.MAS 5 di pasaran Singapura.

Untuk pasaran Singapura, model berkenaan ditawarkan pada harga pelancaran SG$158,988 (kira-kira RM500,982).

Langkah strategik itu dijayakan menerusi kerjasama erat bersama pengedar rasmi PROTON di republik berkenaan iaitu VINCAR Group, sekali gus menyaksikan pengenalan model EV kedua dalam rangkaian penawaran subjenama itu.

Kehadiran Proton e.MAS 5 di pasaran seberang tambak ini menyusul selepas kemunculan sulung model Proton e.MAS 7 pada tahun lalu, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kalendar pengembangan pasaran serantau syarikat automotif nasional itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, peluasan barisan model berkenaan membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi PROTON untuk terus memacu prestasi cemerlang dalam cabang aktiviti eksport syarikat.

Menurutnya, perkembangan positif ini secara tidak langsung mencerminkan peningkatan tahap keyakinan para pengguna antarabangsa terhadap kualiti dan keupayaan produk automotif yang dibangunkan di Malaysia.

"Pengenalan Proton e.MAS 5 susulan sambutan hangat terhadap Proton e.MAS 7 mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk meningkatkan volum eksport bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan syarikat.

"Pada masa sama, ia mengukuhkan kedudukan PROTON sebagai jenama yang menawarkan gabungan teknologi canggih, ciri keselamatan tinggi dan nilai terbaik kepada pelanggan serantau, sekali gus membuka lebih banyak peluang pasaran," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Edmund berkata, Singapura merupakan antara pasaran automotif paling kompetitif di Asia Tenggara selain bertindak selaku platform penanda aras kritikal bagi mana-mana jenama global untuk bertapak kukuh.

Kejayaan menembusi pasaran berkenaan membuktikan keupayaan siri Proton e.MAS untuk bersaing dalam persekitaran yang didominasi oleh pengguna berpengetahuan tinggi di samping sokongan ekosistem EV tempatan yang sudah matang.

Pelancaran ini turut menyerlahkan peranan Proton e.MAS selaku pemacu utama strategi pertumbuhan antarabangsa PROTON yang bukan sahaja menyokong agenda mobiliti rendah karbon Malaysia, malah membuka pintu kepada penyelesaian mobiliti tempatan.

Untuk rekod, Proton e.MAS 5 hadir ke Singapura dengan reputasi tinggi selepas meraih status sebagai model EV paling laris di Malaysia selain merekodkan jualan terkumpul melebihi 610,000 unit di seluruh dunia bersama model kembarannya daripada Geely.

Bagi menarik minat pembeli di Singapura, pemilikan model ini diserikan dengan pelbagai manfaat premium termasuk kredit pengecasan, pakej insentif bernilai SG$5,000, pembiayaan tanpa wang pendahuluan, jaminan bateri 10 tahun, serta perkhidmatan perayauan data percuma Malaysia-Singapura.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Ah Choon Wong
Like · Reply
这个价包’ 拥車证‘ 吗 ?

Login to comment.