Elak wang habis terlalu awal

HarianMetro Wed, Aug 06, 2025 08:24am - 2 days View Original


Kuala Lumpur: Kerajaan kini sedang meneliti cadangan untuk menambah baik sistem pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan memperkenalkan mekanisme pembayaran secara berkala, seakan sistem pencen bulanan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme itu juga bagi memastikan simpanan persaraan pencarum tidak habis terlalu awal.

Katanya, idea utamanya ialah membangunkan satu sistem yang lebih mampan dan ia sedang diperhalusi serta sudah diberikan penjelasan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

"Ia seperti sistem pencen di mana simpanan tidak dikeluarkan sekaligus, tetapi dibayar secara berkala setiap bulan.

"Kita sedar bahawa ramai pencarum yang menghabiskan simpanan terlalu cepat selepas persaraan, lalu menghadapi kesukaran kewangan pada penghujung usia, oleh itu, kita perlu buat kajian menyeluruh terhadap perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Percukaian Kebangsaan (NTC) 2025 di sini, semalam.

Menurutnya, jika cadangan ini diterima, pelaksanaannya akan dibuat secara praktikal dan berfasa.

"Seperti yang dijelaskan sebelum ini, ia mungkin hanya membabitkan mereka yang baru menyertai KWSP dan bukan pencarum sedia ada.

"Namun pencarum sedia ada juga mungkin diberi pilihan untuk menyertai sistem baharu itu, jika mereka mahu," katanya.

Amir berkata, pendekatan baharu ini bertujuan menjadikan KWSP lebih mampan dan selari dengan realiti peningkatan jangka hayat rakyat Malaysia serta cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Saya sudah nyatakan bahawa perkara ini sudah diperhalusi dan dijelaskan oleh KWSP.

"Malah KWSP sendiri memaklumkan bahawa cadangan ini masih dalam peringkat kajian dan belum sampai ke tahap pelaksanaan," katanya.

Namun beliau berkata, dari sudut dasar, sekiranya ia dapat beralih kepada sistem seperti pencen di mana simpanan disalurkan dan dibayar secara berperingkat, ia mungkin lebih baik untuk negara kerana boleh menjamin bahawa pencarum mempunyai simpanan mencukupi apabila mereka bersara kelak.

"Masalah yang kita lihat sekarang ialah apabila pencarum diberi akses penuh, sebahagian besar akan menghabiskan simpanan mereka dengan cepat, akibatnya, apabila mereka mencapai usia tua, mereka tidak lagi mempunyai simpanan yang mencukupi.

"Oleh itu, perkara paling penting ialah kita lakukan kajian secara menyeluruh dan teliti hanya selepas kajian itu selesai dan mendapat kelulusan, barulah kita boleh laksanakan cadangan ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya percaya dalam kajian itu nanti, semua pihak akan menilai cara pelaksanaan paling praktikal.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerajaan mempertimbangkan untuk memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli KWSP.

Dalam laporan RMK13 yang diterbitkan oleh Kementerian Ekonomi, mekanisme itu akan membolehkan pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.

Melalui usaha ini, golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan, di samping menerima pencen bulanan pada umur persaraan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Login to comment.