KENA TARIF 10 PERATUS BUKAN ISU

HarianMetro Tue, Apr 29, 2025 06:00am - 1 week View Original


Kuala Lumpur: Malaysia akan terus mengeksport sarung tangan getah ke Amerika Syarikat (AS) walaupun berdepan dengan pelaksanaan tarif balas terhadap import dari negara ini.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada masa ini kadar tarif asas ke atas Malaysia adalah 10 peratus dan ditambah sebanyak 24 peratus, namun tambahan 24 peratus itu telah digantung selama 90 hari.

"Kita tiada pilihan, kita perlu terus berurusan dengan AS dan membayar tarif 10 peratus itu. Tiada masalah dan tiada isu bagi kita.

"Perkara utama yang perlu dipastikan adalah semua eksport, khususnya sarung tangan getah mestilah produk buatan Malaysia," katanya ketika di Sambutan Jubli Perak Majlis Getah Malaysia (MRC), di sini, semalam.

Johari berkata, eksport sarung tangan getah tidak boleh melibatkan pihak lain yang menggunakan negara ini sebagai platform untuk mengeksport ke AS.

"Sebab itu saya nyatakan, Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan mewajibkan bahawa mana-mana eksport sarung tangan getah mesti daripada pengeluar tempatan.

"Ia tidak boleh digunakan sebagai pusat penghantaran semula untuk negara kita," katanya.

Beliau berkata, memandangkan AS adalah salah satu destinasi eksport terbesar bagi produk getah, kerajaan kini sedang menjalankan usaha untuk mempelbagaikan pasaran.

"Malah, dapat dilihat bahawa eksport produk getah hari ini mencecah AS$37 bilion (RM162 bilion) setahun. Daripada jumlah itu sebanyak AS$15 bilion (RM65.5 bilion) adalah daripada sarung tangan getah. Walaupun dengan adanya tarif, kita akan tetap meneruskan bekalan kepada AS," katanya.

Sementara itu, Pengerusi MRC, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, berkata MRC akan memperkukuh usaha dalam pembangunan modal insan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inisiatif pensijilan.

"Inisiatif ini adalah untuk memastikan produk getah Malaysia bukan sahaja kompetitif daripada segi kualiti dan harga, tetapi menepati keperluan lestari yang dituntut oleh pasaran global masa kini.

"Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), MRC beroperasi dengan panduan strategik dan dasar yang ditetapkan KPK," katanya.

Beliau menambah, kerjasama erat KPK dan MRC bukan sahaja untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan misi MRC di peringkat antarabangsa, malah sejajar dengan aspirasi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

"Dasar ini menekankan kelestarian, nilai tambah, pemodenan serta pembangunan berterusan industri agrikomoditi negara melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi termasuk peluasan pasaran eksport, pemantapan pensijilan lestari, serta pembangunan kapasiti dan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

"Hubungan strategik ini juga mencerminkan peranan penting KPK sebagai pemangkin utama dalam memacu masa depan industri getah Malaysia yang mampan, berdaya saing dan berdaya tahan," katanya.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Hanlin Fong
Like · Reply
Government of Malaysia should play a role to contribute to the rubber estates both the owners and tappers for further collaboration to improve efficiency and yields so that raw rubber materials can be in competitive stage among other countries, so that Malaysia remain the world leader for glove manufacturers and exporter.
Show more

Login to comment.