AFFIN catat untung sebelum cukai, zakat sembilan bulan lebih besar

BeritaHarian Fri, Nov 22, 2024 03:28pm - 2 months View Original


AFFIN Group - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
AFFIN Group - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

KUALA LUMPUR: AFFIN Group (AFFIN) mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) selepas zakat sebanyak RM494.7 juta bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 September 2024, meningkat 10 peratus berbanding RM449.7 juta yang diraih pada tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, AFFIN berkata jumlah aset kumpulan juga meningkat kepada RM112.1 bilion, 9.7 peratus lebih tinggi daripada RM102.1 bilion, menunjukkan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah, berkata pendapatan kumpulan menonjolkan kemajuan dalam mencapai teras strategik Pelan AX28 iaitu perkhidmatan pelanggan tanpa tandingan, kepimpinan digital dan perbankan bertanggungjawab dengan impak.

"Perjalanan transformasi kumpulan yang dipacu oleh pelaksanaan tangkas dan lembaran imbangan yang kukuh meletakkan kami di landasan positif untuk mencapai pertumbuhan mampan walaupun berdepan cabaran makroekonomi dan geopolitik.

"Pelancaran segmen perbankan persendirian eksklusif kami, AFFIN Diventium, pada 3 September lalu, mempelbagaikan lagi model perniagaan dan memenuhi keperluan sofistikated individu-sangat-bernilai-bersih. Langkah strategik ini akan menyumbang kepada momentum perniagaan AFFIN Group," katanya.

Bagi tempoh dikaji, pendapatan faedah bersih (NII) AFFIN berada pada RM600.7 juta, menurun sedikit sebanyak RM4.9 juta atau 0.8 peratus berbanding RM605.6 juta yang dicatatkan pada tempoh sebelumnya.

Dalam perbankan Islam, Affin Islamic Bank Bhd mencatatkan PBT sebanyak RM202.7 juta, susut 7.3 peratus disebabkan kos operasi yang lebih tinggi.

Pendapatan bukan faedah kumpulan bagaimanapun meningkat 14.2 peratus kepada RM513.3 juta daripada RM449.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Liputan kerugian pinjaman (LLC) AFFIN berada pada 101.19 peratus, manakala rizab kerugian pinjaman (LLR) pada 123.74 peratus, dengan kedua-duanya melebihi 100 peratus.

Perbelanjaan operasinya meningkat kepada RM1.2 bilion pada sembilan bulan 2024 dengan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) sebanyak 74.6 peratus, naik daripada 68.1 peratus yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Dalam aspek pertumbuhan pinjaman dan deposit, AFFIN merekodkan jumlah pinjaman sebanyak RM70.6 bilion, meningkat 9.9 peratus, dipacu oleh pertumbuhan 12 peratus dalam segmen Perbankan Komuniti.

Deposit pelanggan pula meningkat 3.3 peratus kepada RM74 bilion, dengan CASA (Akaun Semasa/Simpanan) berada pada RM19.9 bilion dan nisbah CASA pada 26.86 peratus.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AFFIN 2.760

Comments

Login to comment.