PENGANJURAN Petronas BeDigital Bootcamp bertujuan mengukuhkan literasi digital pelajar, meningkatkan prospek pekerjaan, menambah baik kebolehpasaran dan meneroka keusahawanan digital dalam menyokong aspirasi digital negara.
Bagi penganjuran edisi wilayah utara, sebanyak 98 peserta dari lima universiti iaitu Universiti Teknologi Mara UiTM cawangan Pulau Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) terbabit dalam program berkenaan.
Naib Presiden Penyampaian Projek Kumpulan, Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, Ir Shah Rizal Dahlan berkata, program itu dijalankan selama 12 hari di UiTM cawangan Pulau Pinang di Permatang Pauh.
"Ia adalah satu penghormatan besar untuk membawa BeDigital Bootcamp ke Wilayah Utara buat pertama kali.
"Pencapaian ini menekankan dedikasi kami untuk berkembang peluang untuk pertumbuhan dan pembelajaran untuk komuniti di seluruh negara.
"Kami teruja menantikan lebih banyak edisi melalui kerjasama berterusan dengan institusi pengajian tinggi, pemain industri dan rakan kongsi yang berkongsi visi sama untuk masa depan digital negara," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, modul pada program Petronas BeDigital Bootcamp sentiasa dikemas kini mengikut keperluan pasaran termasuk kemahiran digital seperti kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber serta kemahiran pembentangan menerusi Shark Tank Pitch.
"Ini adalah Petronas BeDigital Bootcamp yang kelima pada tahun ini
"Sebelum ini, program itu dijalankan bagi edisi Pantai Timur dan Wilayah Selatan serta Sabah dan Sarawak," katanya.
Petronas BeDigital Bootcamp adalah antara usaha dijalankan Petronas dalam memastikan kebolehpasaran graduan dalam dunia pekerjaan dapat dipertingkatkan. ia mula diperkenalkan di Kota Kinabalu, Sabah pada Mac dan Ogos 2022.