Cendana Auto intai peluang eksport kenderaan taktikal ringan

BeritaHarian Mon, May 06, 2024 05:02pm - 2 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Syarikat berkaitan automotif Bumiputera, Cendana Auto Sdn Bhd sedang mengintai untuk mengeksport beberapa varian kenderaan taktikal ringannya seperti Fitted For Radio (FFR) dan Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) ke pasaran luar negara seperti Brunei dan Timor Leste.

Pengarahnya Abdul Rauf Nassiruddin berkata, setakat ini, perbincangan telah dilakukan dengan negara terbabit yang dilihat menunjukkan minat positif untuk mengimport kenderaan tersebut dan sekiranya berjaya eksport pertama dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

Selain pasaran tersebut, beliau berkata, negara-negara Afrika seperti Tanzania dan Sudan turut menunjukkan minat yang sama terhadap varian kenderaan keluaran syarikat itu yang memiliki keupayaan 100 peratus tenaga kerja dan kepakaran Bumiputera terdiri daripada graduan dan pelatih dari kolej dan universiti tempatan.

"Kesemua negara ini kita sedang dan telah berbincang dan mereka menunjukkan minat yang positif, sekarang tunggu maklum balas mereka," katanya ketika ditemui Bernama pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, hari ini.

Selain FFR, syarikat itu sebelum ini berjaya menghasilkan varian kenderaan ketenteraan iaitu SF-21X (High Mobility Light Tactical Vehicle); Weapon Platform (Armed Tactical Ground Vehicle) dan Mortar Transporter (Ground Tactical Mortar Transporter) yang dibina dan dipasang di kilangnya di Semenyih, Selangor.

Abdul Rauf berkata sehingga kini, syarikat itu telah berjaya menyiapkan 20 unit kenderaan FFR kepada Malaysia Battalion (MALBATT) untuk misi pengamanan di Lubnan dan 21 unit lagi kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menurutnya, semua produk keluaran syarikat diuji ketahanannya oleh Kementerian Pertahanan dan Polis Diraja Malaysia, malah telah disahkan menepati piawaian yang ditetapkan untuk kegunaan taktikal.

Sempena DSA 2024, Cendana Auto yang menyertai pameran berkenaan buat kali ketiga turut mempamerkan dua varian baharu iaitu VEXTOR (Light Tactical Troop Transporter) yang merupakan prototaip ketujuh dihasilkannya dan MAGATTI (Light Strike Vehicle).

Beliau berkata, VEXTOR, yang menggunakan teknologi dan enjin daripada China merupakan kenderaan taktikal dengan enjin berkapasiti 2,000 cc dilengkapi turbo serta lebih ringan dan pantas bergerak terutama di dalam hutan atau kawasan rupa bumi lasak.

"Kenderaan VEXTOR ini ketika ini sedang diuji nilai sebelum kita mencadangkan untuk digunakan pasukan keselamatan negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rauf berkata syarikat berkenaan turut berharapkan sokongan penuh daripada kerajaan dari aspek penyelidikan dan pembangunan (RnD) dan tempahan untuk kegunaan negara, bagi menyokong dan memacu pertumbuhan industri tempatan berkenaan.

"Menerusi penghasilan dan pembuatan di Malaysia, negara dapat menjaga rahsia pertahanan dan keselamatan negara. Kualiti dan kesempurnaan yang ditampilkan menerusi produk yang dihasilkan kita juga adalah setanding dengan produk antarabangsa," katanya. – Bernama

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

TDM 0.245

Comments

Login to comment.