Westports catat untung lebih besar RM204.51 juta

BeritaHarian Thu, May 02, 2024 05:02pm - 3 weeks View Original


KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Westports Holdings Bhd (Westports) bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 meningkat kepada RM204.51 juta daripada RM183.59 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil meningkat kepada RM543.15 juta daripada RM512.92 juta sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Westports berkata keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM205 juta disebabkan oleh hasil kontena yang lebih tinggi.

Dalam satu kenyataan berasingan, pengendali pelabuhan tersenarai terbesar di negara ini berkata syarikat itu mencapai jumlah pendapatan RM543 juta apabila Westports mengendalikan volum kontena yang lebih tinggi sebanyak lima peratus daripada 2.67 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU).

"Dalam segmen konvensional, syarikat mengendalikan kargo pukal berjumlah 2.76 juta tan," katanya.

Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah, berkata perkembangan Laut Merah mempunyai pengaruh yang ketara terhadap perkapalan kontena.

"Laluan perdagangan Asia-Eropah kami mengalami volum yang lebih rendah disebabkan pelarasan awal kerana kapal memilih laluan yang lebih panjang di sekitar Tanjung Harapan.

"Pada suku pertama, terminal ini mempunyai beberapa punca dalam penggunaannya kerana gangguan kepada jadual penghantaran dan kumpulan kapal yang berikutnya. Bagaimanapun, kesan buruk sepatutnya berkurangan apabila perkhidmatan kembali ditetapkan," katanya.

Memandang ke hadapan, beliau berkata Westports akan menyambut ulang tahun ke-30 tahun ini walaupun ia memulakan program pembesaran terminal kontena Westports 2.

"Syarikat telah mengatur program nota jangka sederhana sukuk wakalah bernilai RM5 bilion untuk memudahkan keperluan pembiayaan.

"Westports komited untuk mengekalkan Pelabuhan Klang sebagai salah satu hab pemindahan mega terbesar dan paling kompetitif di rantau ini dan menjadi pelabuhan gerbang utama ke Malaysia," tambahnya.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.480
WPRTS 4.040

Comments

Login to comment.