Affin agih dividen RM135.3 juta

HarianMetro Thu, Apr 25, 2024 06:46pm - 1 week View Original


Kuala Lumpur: Kumpulan Affin (Affin) mengisytiharkan dividen akhir RM5.76 yang mewakili jumlah pembayaran dividen kira-kira RM135.3 juta atau 33.6 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2023.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya berdepan tahun mencabar dengan memfokuskan kepada objektif jangka panjang dan kekal teguh dalam memberi tumpuan kepada strategi pertumbuhan mampan yang mengutamakan penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang saham dan pelanggan.

"Bagi membuktikan diri pada masa hadapan, kami perlu mengukuhkan keupayaan teras kami, berinovasi dalam bidang strategik utama dan melabur dalam peluang pertumbuhan, sambil pantas bertindak balas terhadap sebarang perubahan yang tidak dijangka dalam persekitaran luaran," katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-48 di sini, hari ini.

Wan Razly berkata, pihaknya kini sedang menyelaraskan semula visi kumpulan daripasa Pelan Affin 2025 (A25) kepada Pelan Affin Axelerate 2028 (AX28) dengan memfokuskan kepada lima tonggak kritikal untuk menghadapi cabaran kitaran ekonomi dan melonjak transformatif pada masa hadapan.

"Memperluaskan komitmen kami terhadap kepuasan pelanggan dengan memberi tumpuan kepada Perbankan Peribadi selain menerajui resolusi digital.

"Pada sama sama, kita akan memperluaskan peluang di Sarawak serta memaksimumkan kecekapan modal.

"Selain itu, memperkukuh komitmen amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memastikan kemampanan dalam operasi kumpulan," katanya.

Katanya, pihaknya juga membentuk perniagaan berdasarkan tiga tonggak iaitu Perkhidmatan Pelanggan Tanpa Tandingan, Kepimpinan Digital, Perbankan Bertanggungjawab dengan Impak.

"Ini meningkatkan libat urus yang mengukuhkan lagi jalinan hubungan dengan pelanggan yang dibuktikan menerusi Skor Promoter Bersih (NPS) sebanyak +69, sekali gus meletakkan Kumpulan Affin di tempat ketiga dalam industri," katanya.

Sebelum ini, Kumpulan Affin pernah mengumumkan peningkatan aset bernilai RM105 bilion pada tahun lalu berbanding RM70 bilion pada 2020 dipacu 12.3 peratus pertumbuhan pembiayaan memberangsangkan dari tahun ke tahun.

Kumpulan Affin juga mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM518.3 juta untuk tahun kewangan berakhir 2023.

Pada masa sama, akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) kumpulan turut meningkat kepada RM18.9 bilion pada tahun kewangan 2023 berbanding RM11.2 bilion tiga tahun lalu dengan nisbah CASA berada di 26.7 peratus melepasi sasaran 25 peratus sekali gus nisbah CASA tertinggi, setakat ini.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AFFIN 2.540

Comments

Login to comment.