Kitacon dapat kontrak bina rumah di Bandar Puncak Alam

BeritaHarian Mon, Apr 15, 2024 02:54pm - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Kumpulan Kitacon Bhd, Kitacon Sdn Bhd meraih kontrak kerja-kerja bangunan utama bernilai RM134.8 juta di Bandar Puncak Alam, Selangor daripada Tropicana Alam Sdn Bhd.

Cadangan pembinaan itu terdiri daripada 399 unit rumah teres dua tingkat (20' x 70'), 32 unit rumah teres dua tingkat (22' x 70') dan tiga unit pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) (dua ruang).

"Kontrak itu akan bermula pada 18 April 2024, dan akan disiapkan dalam tempoh 22 bulan daripada tarikh permulaan," kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Ia berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham Kumpulan Kitacon bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya hingga tamat kontrak.

"Kontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham Kumpulan Kitacon," katanya.

Selain itu, kumpulan itu menambah bahawa kontrak itu tertakluk kepada perubahan dalam persekitaran ekonomi, politik dan kawal selia, serta risiko operasi, yang akan dikurangkan sebaik mungkin.

Pada waktu rehat tengah hari, saham Kumpulan Kitacon naik setengah sen kepada 68.5 sen dengan 26,800 saham bertukar tangan.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 8.200
KITACON 0.680
TENAGA 12.660

Comments

Login to comment.