FGV komited pastikan sekatan dikenakan AS ditarik balik

BeritaHarian Tue, Mar 26, 2024 10:24am - 1 month View Original


KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) komited melaksanakan usaha untuk memastikan perintah pelepasan tahan (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) ke atas minyak sawit dan produk sawit keluaran FGV dan anak syarikatnya pada 30 September 2020, ditarik balik.

Ketua Pegawai Kelestarian FGV, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim, berkata sebagai sebahagian daripada usaha itu, syarikat telah melantik perunding bebas, Lloyd's Register Quality Assurance (LRQA), untuk menjalankan penilaian bebas ke atas FGV terhadap pematuhan 11 Petunjuk Buruh Paksa Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Sebelum ini, LRQA dikenali sebagai ELEVATE Ltd.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini, Nurul Hasanah berkata syarikat perladangan itu telah melaksanakan pelan pemulihan bagi mengurangkan risiko buruh paksa dalam operasi syarikat.

Ini termasuk peruntukan sebanyak RM605 juta untuk pembinaan perumahan baharu bagi pekerja dan menambah baik keadaan perumahan pekerja, katanya.

"FGV juga memperuntukkan sebanyak RM22.2 juta untuk menambah baik akses kepada air yang selamat diminum, dan RM15 juta bagi meningkatkan akses jaringan internet bagi pekerja, terutamanya di kawasan operasi yang terpencil," katanya.

Selain itu, katanya, FGV juga telah memperkukuh lagi prosedur saringan agensi pengambilan pekerja migran bagi memastikan hanya agensi yang beretika dan mematuhi garis panduan syarikat itu akan dilantik.

"Selaras dengan komitmen FGV kepada prinsip 'tiada yuran pengambilan pekerja', FGV juga telah membayar balik sejumlah RM72.2 juta kepada hampir 20,153 pekerja migrannya dan RM1.77 juta kepada seramai 415 bekas pekerja migran FGV setakat ini," katanya.

Nurul Hasanah berkata, program bayaran balik kepada bekas pekerja migran syarikat itu akan dijalankan sehingga akhir tahun 2024 dan kini, LRQA sedang menjalankan penilaian susulan ke atas operasi FGV selepas pelaksanaan pelan pemulihan terbabit.

"Hasil penilaian itu amat penting bagi menggambarkan pematuhan FGV terhadap piawaian perburuhan dan ia akan disertakan bersama petisyen FGV kepada pihak CBP dalam usaha untuk menarik balik WRO yang telah dikenakan ke atas produk FGV," katanya.

Menurutnya, FGV merancang untuk menyerahkan petisyennya kepada pihak CBP AS pada akhir Jun 2024 untuk memohon penarikan balik WRO berkenaan.

Berdasarkan pengalaman syarikat lain yang dikenakan WRO, beliau berkata CBP akan mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk menyemak dokumen, petisyen dan juga membuat keputusan tentang penarikan balik WRO.

FGV kekal optimis WRO terhadap produk FGV akan ditarik balik dan berharap agar proses penarikan balik itu boleh diselesaikan dalam masa terdekat, katanya.

"Kami di FGV sentiasa komited terhadap agenda menghormati hak asasi manusia dan kelestarian secara keseluruhan bagi menyumbang kepada masa depan yang mampan dan lebih makmur untuk generasi akan datang, selaras dengan rangka kerja kelestarian syarikat," kata Nurul Hasanah.

-BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

FGV 1.370

Comments

Login to comment.