MGB dapat kontrak RM207.3 juta bina rumah di Puchong

BeritaHarian Thu, Mar 21, 2024 05:51pm - 2 months View Original


PETALING JAYA: MGB Bhd, penyedia penyelesaian perkhidmatan dan pembangunan hartanah yang juga anak syarikat LBS Bina Group Bhd menerusi anak syarikatnya, MGB Construction & Engineering Sdn Bhd menerima surat lantikan bernilai RM207.3 juta daripada Anuar Aziz Architect bagi pihak Astana Modal Sdn Bhd untuk projek pembangunan di Puchong, Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor.

Kontrak itu terbahagi kepada dua fasa pembangunan di mana Kontrak Fasa 1 terdiri daripada satu blok 34 tingkat dengan 608 unit pangsapuri perkhidmatan, satu blok podium tujuh tingkat (Podium 1), satu blok podium kemudahan enam tingkat, satu unit ruang sampah dan satu unit pondok pengawal.

Fasa 2 pula terdiri daripada satu blok 29 tingkat dengan 391 unit pangsapuri perkhidmatan dan satu blok podium enam tingkat (Podium 2).

Pembinaan projek pembangunan ini dijangka bermula pada 1 Jun 2024 bagi Fasa 1 manakala untuk Fasa 2, projek akan bermula pada 2 Februari 2025, masing-masing untuk tempoh 27 bulan dan 24 bulan.

Projek ini merupakan sebahagian daripada pembangunan perbandaran D'Island Residence oleh LBS dan untuk pembangunan ini, MGB akan menggunakan panel konkrit pratuang sistem binaan industri (IBS) yang dihasilkan di kilangnya di Nilai.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Dr Lim Hock San, berkata dengan kontrak ini, buku pesanan tertunggak syarikat telah meningkat kepada RM1.27 bilion, manakala bagi segmen pembangunan hartanah mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM 1.21 bilion.

"Ini merupakan kontrak pertama bagi tahun 2024 yang akan memberikan kami pendapatan kukuh dan stabil sehingga tahun 2027.

"Dalam usaha untuk meningkat dan mengekalkan buku pesanan tertunggak kami, MGB akan menggunakan kepakaran dan pengalaman yang diperoleh daripada pembuatan panel konkrit pratuang IBS, yang dimulakan pada tahun 2018.

"Inisiatif ini disokong oleh teknik dan kaedah pembinaan yang selaras dengan usaha kami untuk menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan. MGB peka dan optimis untuk melangkah ke hadapan selain berhasrat untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang sedia ada melalui kemajuan teknologi di samping meneroka peluang baharu bagi memenuhi permintaan serta piawaian industri untuk pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

LBS 0.710
MGB 0.925

Comments

Login to comment.