Subsidi bersasar lebih adil

HarianMetro Thu, May 25, 2023 10:55am - 1 year View Original


Kuala Lumpur: Apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar tenaga elektrik ke atas pengguna domestik mulai separuh kedua tahun ini, ia mahu melindungi golongan berpendapatan rendah, memupuk budaya peka tenaga serta menjadi ramuan asas peralihan tenaga bersih demi kelestarian alam dan kesejahteraan masa depan rakyat.

Dengan jangkaan penjimatan sebanyak RM4.1 bilion, kerajaan boleh menyalurkan penjimatan daripada subsidi bersasar tersebut kepada industri lain yang lebih memerlukan.

Dalam tempoh enam bulan pertama ini, kerajaan dianggarkan membiayai RM10.8 bilion dalam bentuk rebat kepada pelbagai lapisan pengguna domestik termasuk golongan berpendapatan tinggi sekali gus menyumbang beban fiskal kepada belanjawan negara.

Sebuah organisasi autonomi antara kerajaan yang berpangkalan di Paris, Perancis, Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah lama menganjurkan supaya subsidi bahan api fosil dihapuskan atau dikurangkan kerana ia melebarkan defisit fiskal dalam ekonomi membangun, menghantar isyarat harga yang salah kepada pengguna dan memesongkan pasaran serta tidak menggalakkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) yang lebih bersih.

"Harga bahan api fosil yang tinggi melanda mereka yang paling miskin tetapi subsidi jarang disasarkan dengan baik untuk melindungi kumpulan yang terdedah ini sebaliknya cenderung memberi manfaat kepada segmen penduduk yang lebih berada (golongan mewah)," kata analisis terkini IEA mengenai subsidi bahan api fosil 2022.

Organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1974 itu yang menyediakan cadangan dasar, analisis dan data mengenai keseluruhan sektor tenaga global, menyifatkan pemberian subsidi memang dapat mengurangkan kesusahan tetapi tidak mendidik pengguna berjimat dan peka tenaga atau beralih kepada sumber tenaga alternatif, selain dana awam tersebut tidak dapat dibelanjakan bagi tujuan kebaikan lain.

"Kita harus menggandakan usaha untuk mengurangkan penggunaan membazir dan mempercepatkan peralihan tenaga bersih. Adalah lebih baik bagi kerajaan menghabiskan masa dan wang untuk perubahan struktur yang mengurangkan permintaan bahan api fosil demi faedah jangka panjang dan bukannya menurunkan bil tenaga apabila harga bahan api (penjanaan) meningkat," kata laporan itu lagi.

Rasional ini menepati keadaan di Malaysia di mana kos bahan api menyumbang lebih daripada 70 peratus kepada kos penjanaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dengan kebanyakan sumber bahan api fosil adalah arang batu dan gas.

Justeru, Malaysia tidak terlepas daripada impak kenaikan harga bahan api terhadap penjanaan tenaga elektrik yang berlarutan daripada satu krisis kesihatan sedunia kepada krisis tenaga global pula yang dicetuskan oleh pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Ia memberi kesan teruk kepada pasaran tenaga memandangkan Rusia adalah antara pengeksport bahan api fosil terbesar di dunia. Pada kemuncak krisis tenaga global yang bermula pada Oktober 2021, harga arang batu dan gas mencapai paras tertinggi dengan masing-masing meningkat sebanyak 83 peratus dan 11 peratus sehingga tahun ini.

Walaupun harga arang batu sedang menurun tetapi ia masih dua kali ganda tinggi daripada yang telah kerajaan tetapkan iaitu US$79 setiap metrik tan (MT) di bawah tempoh kawal selia ketiga (RP3: 2022-2024).

Perjanjian Iklim Glasgow di Persidangan Perubahan Iklim (COP26) PBB pada 2021, menyeru negara-negara supaya "menghentikan... subsidi bahan api fosil yang tidak cekap, sambil memberikan sokongan dengan sasaran kepada golongan paling miskin dan paling terdedah".

Bank Dunia turut menganjurkan supaya dilaksanakan pembaharuan subsidi tenaga mampan dilaksanakan sambil menjaga kebajikan golongan miskin. Subsidi tenaga adalah regresif dengan orang kaya menerima faedah yang lebih tinggi secara tidak seimbang daripada golongan miskin, menggalakkan penggunaan yang berlebihan dan membazir serta menyumbang kepada pelepasan karbon.

Dewan Rakyat diberitahu pada Mac lalu bahawa kerajaan sedang meneroka langkah untuk menambah baik pemberian subsidi bagi mengurangkan ketirisan, mengimbangi keperluan memelihara kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan kepada program dan projek yang memberi nilai tambah kepada rakyat serta ekonomi negara.

Penjimatan daripada subsidi boleh diagihkan semula untuk program dan aktiviti lebih berkesan seperti pelaburan semula ke dalam inisiatif peralihan tenaga, membiayai kegiatan lain pertumbuhan ekonomi serta melalui bidang yang boleh memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Sehubungan itu, Pangkalan Data Utama (PADU) dibangunkan dalam menggabungkan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah di Malaysia bagi memperkemaskan pelaksanaan subsidi yang tujuan asasnya adalah untuk menangani isu pengagihan ekonomi supaya rakyat menerima manfaat yang adil daripada kekayaan negara.

Subsidi yang tidak mampan boleh memburukkan defisit bajet negara dan menjejaskan kestabilan ekonomi. Rejim subsidi menyeluruh atau pukal adalah tidak seimbang kerana setiap segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang kewangan menikmati pemberian yang sama.

Justeru, pemberian subsidi elektrik bersasar bertujuan melindungi golongan miskin berpendapatan rendah dan kumpulan terdedah sambil menyumbang kepada kestabilan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia melalui pelaburan semula yang mendukung peralihan tenaga.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Comments

Mr Ong Ti Chiang
Like · Reply
Larangkan warga asing subsidi lagi adil.Sekarang pelarian pun enjoy subsidi.Kedai runcot warga asing pun jual barang subsidi,beras,gas,tepung pada warga mereka

Login to comment.