KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Group merekodkan momentum trafik yang kukuh pada 2025 apabila mencatatkan 153.3 juta pergerakan penumpang di seluruh rangkaian lapangan terbang globalnya, mencerminkan momentum perjalanan yang positif ketika kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 bermula.
Pengendali lapangan terbang itu dalam satu kenyataan berkata, di bawah rangkaian domestik yang merangkumi 39 lapangan terbang di Malaysia, sejumlah 104.4 juta pergerakan penumpang dikendalikan sepanjang tahun, meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun.
Katanya, Disember 2025 muncul sebagai bulan operasi paling mencabar apabila 10 juta penumpang direkodkan di seluruh negara, meningkat 15.5 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
"Tempoh ini turut menyaksikan lonjakan perjalanan sempena musim perayaan Krismas dan Tahun Baharu, dengan lebih sejuta penumpang diproses dalam tempoh tiga hari berturut-turut, namun operasi kekal stabil," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani, berkata prestasi berkenaan mencerminkan tahap kesiapsiagaan operasi lapangan terbang di seluruh rangkaian kumpulan itu.
Katanya, keupayaan menguruskan jumlah penumpang yang tinggi dalam tempoh singkat adalah hasil perancangan operasi yang berkesan, kerjasama rapat dengan rakan penerbangan serta komitmen pasukan barisan hadapan.
"Dari segi prestasi lapangan terbang utama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengendalikan 6.1 juta penumpang pada Disember, menyumbang kepada jumlah tahunan 63.3 juta penumpang, meningkat 10.8 peratus tahun ke tahun.
"Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Subang) pula mencatat pertumbuhan bulanan tertinggi iaitu 34.4 peratus, meningkat kepada 191,000 penumpang berbanding 142,000 sebelum ini.
"Pertumbuhan turut direkodkan di Kota Kinabalu dengan peningkatan 23.5 peratus kepada 802,000 penumpang, diikuti Langkawi naik 23 peratus kepada 290,000, Pulau Pinang meningkat 12.2 peratus kepada 772,000, manakala Kuching mencatat pertumbuhan 10.3 peratus kepada 540,000 penumpang," katanya.
Beliau berkata, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peluasan rangkaian penerbangan dengan penambahan rakan syarikat penerbangan dan destinasi baharu, selaras dengan usaha memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Pada Disember lalu, beberapa laluan antarabangsa baharu turut dilancarkan termasuk penerbangan dari China, Jepun, Singapura, Indonesia dan Filipina, sekali gus meningkatkan tahap kesalinghubungan udara negara.
"Sementara itu, aset kumpulan di luar negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen, mencatat 49 juta penumpang sepanjang 2025, meningkat 17.5 peratus tahun ke tahun, dengan 4.2 juta penumpang direkodkan pada Disember sahaja.
"Tumpuan seterusnya adalah kepada pengukuhan daya tahan perkhidmatan, kesiapsiagaan kapasiti serta pertumbuhan berasaskan kerjasama strategik bagi menyokong lonjakan perjalanan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026," katanya.
